KOTA BHARU - Idea mengubah suai sendiri tempayan bersaiz 50 liter untuk dijadikan dapur arang memberi rezeki kepada seorang peniaga apabila ayam panggangnya terjual sehingga 100 ekor setiap hari pada bulan Ramadan.
Nur Izwan Tajudin, 31, berkata, membeli lapan tempayan di kedai nurseri dan menebuk bahagian bawah untuk meletakkan dapur dan lubang asap bagi memanggang ayam-ayam dengan menggunakan arang.
"Satu tempayang boleh muat sehingga lapan ekor ayam. Saya juga menempah khas penyangkut besi untuk menggantung ayam di dalam tempayan ketika dipanggang.
"Proses memanggang ayam mengambil masa selama empat jam untuk dimasak sebelum terhasilnya ayam panggang yang berjus,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di gerai berhadapan Penjara Pengkalan Chepa di sini pada Sabtu.
Kata graduan Diploma Teknologi Makanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang itu, resipi perapan ayam diperolehi daripada ibu saudaranya dan perniagaan tersebut dimulakan sejak tahun 2017 dengan lima pembantu.
"Ayam-ayam panggang ini biasanya dijual antara RM26 sehingga RM28 seekor bersaiz 1.8 kilogram (kg) sehingga 2kg. Ayam akan cepat habis dijual terutama pada hari cuti,” katanya.
Menurut bapa yang bakal menimang cahaya mata kedua itu, melakukan perniagaan menjual ayam panggang tempayan itu hanya ketika bulan puasa dan bekerja sebagai pengusaha kerepek di Pasir Puteh pada hari biasa.
"Dalam setiap proses penghasilan makanan, aspek kebersihan paling diutamakan supaya ayam yang dijual kepada pelanggan tidak mengundang bahaya pada kesihatan.
"Ayam yang tidak habis dijual tidak boleh dikitar semula untuk keesokannya tetapi perlu diberi percuma kepada sesiapa sahaja yang memerlukan bagi memastikan perniagaan sentiasa berkualiti,” katanya.