IPOH - Sudah lebih 10 tahun saya memeluk Islam, inilah pertama kalinya dapat merasai pengalaman bersahur paling meriah dan unik.
Demikian kongsi Muhammad Adam Chuwa Abdullah, 54, apabila dapat menyertai perarakan kejut sahur oleh penduduk Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Klebang Putra 1 di sini.
Bapa kepada dua anak dan bekerja sebagai pengurus sumber manusia di sebuah bank itu berkata, suasana mengejutkan penduduk untuk bangun bersahur itu memberinya gambaran sebenar cara diamalkan orang lama berpuasa.
"Selama ini saya bangun untuk bersahur dengan mengunci jam di telefon sahaja, tahun ini sangat berbeza dan sungguh indah sekali.
"Sebagai penduduk baru di taman perumahan ini, saya bersyukur dan bertuah kerana dapat sama-sama memeriahkan acara ini.
"Anak-anak saya berusia 9 dan 11 tahun pun gembira dapat merasai pengalaman berharga ini," katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.
Perarakan kejut sahur yang pertama kali diadakan itu merupakan inisiatif KRT Taman Klebang Putra 1 bersama Kelab Rebana Klebang Putra bagi mengimarahkan bulan Ramadan.
Menerusi program itu, seramai 50 penduduk terdiri pelbagai peringkat umur berarak menunggang motosikal mengelilingi lebih 400 kediaman di kawasan KRT berkenaan dengan mengalunkan selawat dan paluan rebana.
Pengerusi KRT Taman Klebang Putra 1, Dr Mohamad Azrul Azly berkata, pelaksanaan program itu dijadikan medium menghidupkan kembali tradisi lama selain merapatkan hubungan dengan penduduk taman.
"Walaupun tinggal di kawasan taman perumahan, kita sedaya upaya membawa tradisi kampung ke sini agar generasi muda dapat mengenali identiti budaya yang ada.
"Mungkin dengan melihat perarakan dibuat, anak-anak yang sebelum ini susah bangun sahur pun akan teruja," katanya.
Sementara itu, Muhammad Danish Muqri Mohd Tajudin, 19, menerima galakan daripada ibu bapanya untuk menyertai program berkenaan.
Penuntut Universiti Teknogi Mara (UiTM) itu berkata, amlan tradisi seumpama itu perlu diperluas agar dapat diwarisi oleh generasi muda sepertinya.
"Sebelum ini hanya baca dan lihat di tempat lain, tak sangka tahun ini berpeluang untuk ikut serta, rasa teruja," katanya.