KEPULANGAN Gabriel Jesus mengubah wajah Arsenal ketika membantu The Gunners membenam Leeds United, 4-1, dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi Ahad.
Penyerang Brazil itu yang meledak dua gol dianggap oleh Mikel Arteta seperti menandatangani pemain baharu.
Jesus kembali dalam kesebelasan utama The Gunners buat kali pertama di EPL sejak November tahun lalu.
"Saya gembira, rakan sepasukan juga begitu. Kami semua bertepuk tangan untuknya (Jesus)," ujar Arteta.
Bekas penyerang Manchester City itu yang mengalami kecederaan lutut ketika Piala Dunia 2022 digantikan pada separuh masa kedua.
Dia meninggalkan padang dengan mendapat tepukan gemuruh.
Gol pertamanya dalam tempoh enam bulan membantu Arsenal kembali dengan kelebihan lapan mata ke atas City dalam perebutan gelaran liga ketika saingan berbaki sembilan aksi.
"Dia (Jesus) sudah bekerja keras sejak empat atau lima bulan lalu apabila menerima sokongan daripada semua. Hari ini dia berhak mendapat peluang diturunkan dalam kesebelasan utama.
"Dia mengambil peluang itu dengan yakin dan menghasilkan dua gol," ujar Arteta.
Arsenal mengintai kejuaraan liga pertama sejak kali terakhir pada 2004.
Masih ada beberapa cabaran perlu diharungi dengan The Gunners yang dihantui beberapa masalah kecederaan tetapi kepulangan Jesus nyata memberikan impak segera.
Ben White dan Granit Xhaka turut mencatat nama selaku penjaring untuk memberikan kemenangan berharga buat Arsenal.