ROM - Pentadbiran Perdana Menteri Giorgia Meloni akan mendenda mana-mana rakyat Itali yang menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan rasmi kerajaan.
Rang undang-undang (RUU) baharu itu diperkenalkan seorang ahli majlis perundangan, Fabio Rampellii dan dipersetujui Meloni.
Iklan
Iklan
Pihak yang melanggar peraturan itu akan berhadapan denda sehingga 100,000 euro (RM480,000).
Portal berita antarabangsa CNN melaporkan, walaupun undang-undang berkenaan dikenakan terhadap semua bahasa asing, ia ditujukan khas kepada 'Anglomania' atau penggunaan perkataan bahasa Inggeris yang dilihat merendahkan martabat bahasa Itali.
RUU berkenaan yang akan dibentangkan di Parlimen, memperuntukkan sesiapa sahaja yang akan berkhidmat sebagai pegawai kerajaan perlu menulis dan memiliki pengetahuan serta menguasai bahasa Itali.
Peruntukan undang-undang juga melarang penggunaan bahasa Inggeris dalam mana-mana dokumen rasmi kerajaan termasuk penggunaan 'akronim dan nama" sesuatu jawatan yang dipegang di semua syarikat yang beroperasi di seluruh negara itu.
Di bawah undang-undang baharu yang dicadangkan itu juga, Kementerian Kebudayaan akan menubuhkan jawatankuasa yang peranannya adalah untuk memperbetulkan penggunaan bahasa serta sebutan Itali di semua sekolah, media, sektor perniagaan dan pengiklanan. - Agensi