KUANTAN - Unit Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Zon Pahang Timur berjaya mengesan kegiatan memindahkan balak secara haram ekoran penemuan sejumlah tual balak tanpa pas memindah di kawasan sebuah kilang papan di Jalan Gambang-Muadzam Shah di sini pada Jumaat.
Kejayaan itu susulan pemeriksaan ke atas sebuah lori yang membawa muatan balak mencurigakan dalam kawasan kilang itu.
Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, pemeriksaan mendapati muatan balak berukuran 1.2 meter (panjang) seberat kira-kira lapan tan itu dipindahkan tanpa pas memindah balak dikeluarkan JPNP.
"Pemeriksaan lanjut, anggota penguat kuasa turut menemui lebih 40 tual balak bersaiz 1.2 meter pelbagai spesies dalam kawasan kilang itu juga tanpa pas pemindah.
"Pemandu lori dan pemilik kilang ditahan untuk siasatan lanjut manakala lori dan balak yang disita ditempatkan di pusat simpanan rampasan Pejabat Ladang Hutan Kemasul, Mentakab," katanya.
Nor Azirim berkata, lori membawa muatan balak itu dikesan anggota penguat kuasa ketika melakukan tugasan rondaan dan pemantauan di laluan berkenaan.
"Menyedari muatan balak yang dibawa agak mencurigakan, anggota terlibat telah mengekorinya sejauh kira-kira lima kilometer sebelum berjaya menahan dan memeriksanya di kawasan kilang papan tersebut.
"Hasil pemeriksaan, pemandu lori gagal mengemukakan sebarang dokumen atau pas pemindah balak yang dikeluarkan JPNP.
"Susulan itu, pemeriksaan lanjut dilakukan di kawasan kilang sebelum menemui puluhan tual balak pelbagai spesies dipercayai untuk dijadikan papan palet atau pelapik," jelasnya.
Beliau berkata, siasatan sedang dilakukan bagi mengesan pihak yang menjadi pembekal balak yang disyaki dicuri dari kawasan hutan di negeri ini ke kilang papan tersebut.
"Pemilik kilang papan terbabit akan didakwa di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 kerana memiliki balak tanpa pas pemindah," jelasnya.
Sementara itu katanya, JPNP memandang serius kes berkenaan dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak terlibat.
"Anggota penguat kuasa daerah dan negeri sentiasa melakukan rondaan dan semakan di kawasan hutan termasuk kilang papan bagi memastikan kegiatan memindahkan hasil hutan tanpa kebenaran tidak terus berlaku.
"Rondaan dan pemantauan akan digiatkan lagi sepanjang Ramadan ini," jelasnya.