JURULATIH berpengalaman, Thomas Tuchel memulakan legasi baharu bersama Bayern Munich dengan lakaran kemenangan 4-2 ke atas musuh tradisi, Borussia Dortmund dalam saingan Bundesliga di Arena Allianz awal pagi Ahad.
Di sebalik kemenangan bermakna itu, Tuchel sekadar menunjukkan reaksi bersahaja tanpa meraikannya biarpun memulakan tugas pertama dengan langkah kanan.
"Saya gembira jika pemain bersinar dan menunjukkan potensi sebenar mereka, malah lebih gembira jika mereka meraikan kemenangan di hadapan penyokong," katanya.
Tuchel menggantikan Julian Nagelsmann minggu lalu dan kemenangan itu sekali gus membawa Bayern kembali ke puncak Bundesliga.
"Saya rasa belum tiba masanya. Julian adalah jurulatih sehingga sekarang dan saya tiba di akhir musim," ujar Tuchel mengulas sebab dia tidak meraikannya bersama para pemain.
Pada aksi itu, kapten Bayern, Thomas Mueller meledak dua kali dalam tempoh lima minit selepas jaringan sendiri penjaga gol Dortmund, Gregor Kobel pada minit ke-13.
Kingsley Coman menambah jaringan di babak kedua dan dua gol lewat permainan Dortmund belum cukup untuk menafikan kemenangan Bayern.
Tuchel menjelaskan mahu fokus kepada pembentukan skuad yang mantap selain ingin mewujudkan suasana harmoni dalam pasukan.
"Saya cuba membantu mereka mencapai prestasi terbaik sebagai satu pasukan. Saya cuba membawa pengaruh dan mencipta suasana yang membuatkan orang senang datang untuk bekerja.
"Perkara-perkara lain, saya tidak mahu masuk campur," katanya.