KOTA BHARU - Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad atas dakwaan menggunakan lambang datuk palsu pada kenderaan, Jun tahun lalu.
Tertuduh, Suraya Ibrahim, 57, didakwa di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan lambang bertulis Ahli-ahli Dato’-dato’ Negeri Kelantan Darul Naim yang tidak wujud dan tidak diiktiraf dengan meletakkan pada dua kereta yang digunakan iaitu sebuah Mercedez dan BMW di Kampung Bawah Lembah, Bunut Payong, di sini, pada 25 Jun 2022.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 5B (5) Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (mencegah daripada salah guna) 1977 (Kelantan Enakmen Bil 8/1977) yang memperuntukkan denda minimum RM50,000 dan penjara minimum tiga tahun jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala teruduh diwakili peguam bela, Muhammad Yusoff Abdullah.
Pada prosiding itu, Abu Arsalnaa menawarkan jaminan RM70,000, namun Muhammad Yusoff memohon jaminan itu dikurangkan dengan mengambil kira tertuduh seorang wanita yang tidak bekerja dan hanya ditanggung oleh anak-anaknya.
"Jumlah yang ditawarkan terlalu tinggi dan dibimbangi tidak dapat dibayar oleh tertuduh.
"Tertuduh juga menghidap darah tinggi dan kerap pitam jika tertekan. Sekalipun kesalahan itu dilakukan, tertuduh tidak menjejaskan orang lain,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 3 Mei depan.
Tertuduh membayar wang jaminan itu.
Akhbar sebelum ini melaporkan seorang ahli perniagaan ditahan di sebuah rumah di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 13 Julai tahun lalu.