KUALA LUMPUR - Tahfiz Al-Madrasathul Faridiyah dengan kerjasama Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) menyasarkan 2,000 asnaf dibantu menerusi program bantuan Hari Raya Aidilfitri, tahun ini.
Pengerusi tahfiz berkenaan, Datuk Jawahar Ali berkata, lebih 1,000 permohonan diterima menerusi edaran borang permohonan yang dibuka di madrasah itu pada Ahad.
Menurutnya, penyerahan bantuan dijangka disalurkan pada 8 April depan selepas solat Asar yang turut akan disekalikan dengan majlis berbuka puasa.
Ujarnya, program bantuan itu telah diperkenalkan sejak 1997 yang diteruskan sehingga kini bagi memberikan bantuan kepada asnaf dan golongan memerlukan di ibu kota.
"Kita tidak letakkan syarat yang ketat kerana mahu memudahkan cara bantuan, memadai asalkan mempunyai kad pengenalan.
"Maknanya tiada permohonan yang ditolak. Ini kerana kita faham, ketika ini ramai yang memerlukan bantuan. Pada saya, sesiapa yang datang hari ini (Ahad) merupakan mereka yang ada keperluan untuk dibantu," katanya ditemui pada program edaran borang bantuan Hari Raya di madrasah itu pada Ahad.
Mereka yang hadir turut dibekalkan pek kurma dan buku agama yang disumbangkan oleh Al Hidayah Printer.
Beliau yang juga Presiden Presma berkata, mereka yang layak akan diberikan kupon bagi menerima barangan dapur bernilai RM200 setiap satu.
"Permohonan setiap tahun ada menunjukkan peningkatan dan kita memahami keperluan itu susulan ramai terkesan ketika pandemik Covid-19.
"Kita memikirkan makanisme yang boleh digunakan untuk membantu penerima sumbangan ini supaya boleh menjadi pembayar zakat satu hari nanti," katanya.
Katanya, program bantuan itu membabitkan peruntukan antara RM400,000 hingga RM450,000 yang turut mendapat sumbangan daripada peniaga India Muslim.
"Ia menjadi kelaziman setiap kali sebelum Ramadan, sudah ada yang bertanya mengenai program bantuan yang bakal dianjur bagi turut serta menyalurkan sumbangan.
"Mengenai kos bantuan pula, memang ada peningkatan susulan kenaikan barang yang tidak dapat dielakkan. Jika sebelum ini pek bantuan boleh didapati dengan kadar RM150 tetapi kini kepada RM200," ujarnya.