Bekalan telur cukup, 21.5 juta biji diedar ke seluruh negara - FAMA

Iklan
Gambar hiasan

JASIN - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan bekalan telur termasuk gred A dan B di seluruh negara stabil bagi menampung keperluan pengguna sepanjang Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri.

Pemangku Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, bagaimanapun permintaan bagi gred AA, gred A dan gred B meningkat di bulan puasa berikutan ia bahan utama digunakan untuk membuat kuih, kek, biskut raya dan juadah berbuka.

Iklan
Iklan

"Namun FAMA difahamkan pihak pengeluar cuba untuk memenuhi keperluan pengguna tetapi penghasilan bagi telur gred tersebut juga bergantung kepada umur ayam yang diternak.

"Secara keseluruhan kita mempunyai banyak pilihan termasuk telur omega dan telur kampung yang mempunyai saiz membolehkan pengguna membuat pilihan," katanya kepada pemberita pada program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) Ramadan Madani @ Pasar Tani di Merlimau di sini hari ini.

Iklan

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) FAMA Rosilawati Abu Hassan dan Pengarah FAMA negeri Hairudin Yunos.

Abdul Rashid berkata, FAMA juga akan memastikan bekalan telur di pasaran mencukupi dan menambah bekalan di mana-mana tempat sekiranya mendapat maklumat berlaku kekurangan seperti di negeri-negeri pantai timur.

Iklan

"Apabila berlaku kekurangan telur kita akan berbincang dengan pembekal dan antara perbincangan itu kuota yang diberikan kepada FAMA untuk tingkatkan bekalan di Kelantan, Terengganu dan Pahang mengalami kekurangan bekalan kerana tiada pengeluaran kilang yang besar," katanya.

Beliau berkata, FAMA juga mengambil langkah proaktif dengan mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri dan berbincang untuk memasarkan telur ayam ke seluruh negara dan sehingga 31 Mac, FAMA telah mengedarkan sebanyak 21.5 juta biji telur melalui 369 outlet pemasarannya di seluruh negara.

"Intervensi ini diteruskan sehingga Jun tahun ini, namun penilaian semasa akan dilakukan sama ada perlu diteruskan lagi sehingga hujung tahun dan buat masa ini FAMA memperoleh bekalan dari tujuh negeri pembekal utama komoditi itu Melaka, Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata pencapaian nilai jualan JTDL pada tahun lepas mencatatkan RM16.37 juta dengan melibatkan 7,626 usahawan di 1,032 lokasi seluruh negara.

Katanya, pelaksanaan JTDL dilihat sebagai satu daripada program 'quick win' FAMA dalam membantu pengeluar memasarkan produk secara terus kepada pengguna dan secara langsung dapat mengurangkan kos hidup rakyat terutama dalam komoditi agromakanan melalui penjimatan harga ditawarkan. - Bernama