TANPA penyerang berbisa, Erling Haaland tiada masalah buat Manchester City untuk 'makan' Liverpool menerusi kemenangan 4-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada malam Sabtu.
Jurulatih The Citizens, Pep Guardiola tanpa berselindung mendedahkan taktik dan corak permainan mereka tetap sama, biarpun tanpa Haaland yang mengalami kecederaan pangkal paha ketika menentang Burnley pada 18 Mac lalu.
Pujian wajar diberikan kepada pemenang Piala Dunia bersama Argentina, Julian Alvarez, Kevin De Bruyne, Ilkay Gundogan dan Jack Grealish masing-masing menjadi peledak gol buat City.
Ia sekali gus menutup kebimbangan bahawa mereka mungkin bergelut untuk menjaringkan gol tanpa Haaland yang membantu memberi sokongan kepada rakan sepasukan dari tepi padang.
Lebih manis ia merupakan kemenangan ke-100 Guardiola di Etihad bersama City.
"Tiada apa-apa yang berubah. Kualiti, taktik bola sepak ditentukan oleh pemain dan apabila kami mempunyai Erling, ia adalah sesuatu yang istimewa," katanya.
Pemain Norway itu telah menghasilkan 42 jaringan dalam semua kejohanan termasuk 28 gol dalam saingan liga.
Di sebalik ketiadaan mesin gol mereka, Guardiola turut memuji kelibat Alvarez yang disifatkan sebagai pemain yang istimewa.
"Dia sangat bijak mengawal bola dan seorang pemain yang luar biasa. Kelab membuat pembelian yang berbaloi.
"Dia muncul juara dunia bersama Lionel Messi kerana dia mempunyai sesuatu," kata Guardiola.