JOHOR BAHRU - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan mengedar pelbagai jenis dadah.
Er Teng Ping, 39, didakwa mengedar dadah jenis serbuk ekstasi seberat 5.204 kilogram (kg) dan kanabis seberat 489 gram di sebuah rumah di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri pada 3.20 petang 21 Mac lepas.
Lelaki itu juga dituduh mengedar dadah jenis pil Erimin 5 seberat 36.9 kg dan pil ekstasi seberat 865 gram di dalam sebuah kereta di tempat dan hari sama pada 4.15 petang.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1980) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan minimum 15 sebatan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam juga berdepan dengan dua pertuduhan memiliki dadah jenis ketamin masing-masing seberat 850 gram dan 53 gram di rumah dan kereta yang sama, pada hari dan masa sama.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 )(3) akta serupa yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin menetapkan 15 Mei depan untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.
Kes dikendalikanTimbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad. - Bernama