Lebih 50 peratus tiket KTMB habis dijual

Iklan
Menurut KTMB, tiket perjalanan pada tarikh 19 April hingga 1 Mei bagi laluan Kuala Lumpur (KL) Sentral ke Padang Besar telah habis dijual. - Foto hiasan/Bernama

SHAH ALAM - Lebih 50 peratus daripada 179,858 tiket yang ditawarkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sudah habis terjual setakat Khamis lepas.

KTMB dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 102,560 tiket yang dijual itu adalah di antara 19 hingga 25 April depan.

Iklan
Iklan

"Bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS), tiket yang ditawarkan adalah sebanyak 69,930 dan 56,713 telah terjual, sementara ETS tambahan pula mempunyai 8,820 tiket dan telah dijual sebanyak 4,643.

"Untuk KTM Intercity, 31,668 tiket ditawarkan dengan 6,719 telah selesai dijual. Tiket untuk KTM Intercity (Tebrau) pula mempunyai 69,440 secara keseluruhan dan 34,485 dijual,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Menurut KTMB, tiket perjalanan pada tarikh 19 April hingga 1 Mei bagi laluan Kuala Lumpur (KL) Sentral ke Padang Besar telah habis dijual.

Tambahnya, pihak KTMB menyediakan 32 perkhidmatan ETS untuk semua laluan dari Gemas hingga ke Padang Besar.

Iklan

"Bagi KTM Intercity laluan dari Gemas hingga ke Tumpat dan Johor Bahru pula, sebanyak 22 perkhidmatan disediakan," ujarnya.

KTMB memaklumkan, berikutan permintaan yang tinggi, sebanyak empat perkhidmatan ETS tambahan dengan 8,820 tiket ditawarkan.

"Ia bagi laluan KL Sentral ke Padang Besar dan sebaliknya serta KL Sentral ke Butterworth bagi perjalanan dua hala bermula dari tarikh 19 April hingga 25 April.

"Jualan tiket bagi tren tambahan ini telah mula dijual pada 23 Mac,” jelasnya.