Sukan SEA: Kimberly mahu tingkat tahap kesukaran terjunan

Iklan
Kimberly

PENERJUN wanita negara, Kimberly Bong yakin mampu meningkatkan tahap kesukaran terjunannya menjelang Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja, bulan depan, meskipun agak kesuntukan masa.

Bagi penerjun Sarawak itu, tiada yang mustahil untuk beliau beraksi sekurang-kurangnya pada tahap kesukaran 3.0 dalam acara 3 meter (m) papan anjal wanila di temasya dwitahunan itu.

Iklan
Iklan

Selepas beraksi pada tahap kesukaran antara 1.0 dan 2.5 sebelum ini, Kimberly mahu mencabar dirinya dengan mencuba terjunan baharu bagi meraih lebih banyak mata daripada pengadil.

"Ia mungkin mengambil masa untuk saya berbuat demikian tetapi saya sedang berusaha ke arah itu dan jurulatih juga mengalakkannya.

Iklan

"Saya lebih faham dengan keadaan tubuh saya. Jadi, saya rasa tidak ada masalah untuk saya meningkatkan tahap kesukaran dalam masa yang singkat,” katanya kepada pemberita selepas memenangi emas dalam acara 3m papan anjal wanita di Kejohanan Terjun Kumpulan Umur Jemputan Malaysia (MIAG) ke-58, di sini hari ini.

Justeru, pemenang pingat perak Sukan SEA 2021 bagi acara 1m papan anjal wanita itu meletakkan sasaran untuk melakukan sekurang-kurangnya dua terjunan baharu daripada lima pusingan di Phnom Penh nanti.

Iklan

Mengenai persembahannya hari ini, Kimberly mengakui agak gementar untuk bertanding dalam acara hari ini kerana ini merupakan kejohanan pertamanya sejak November lepas.

"Namun, saya lega kerana berjaya mengatasi rasa gementar itu. Ini merupakan pertandingan pertama dan terakhir saya sebelum Sukan SEA, jadi ia tidaklah teruk langsung,” katanya.

Sementara itu, pelajar pengurusan sukan Universiti Malaya itu berharap dapat mengelak daripada sebarang kecederaan serius menjelang temasya itu.

Terdahulu, Kimberly yang mewakili pasukan negara mengumpul 280.55 mata untuk muncul tempat pertama, manakala rakan sepasukannya, Ong Ker Ying meraih perak dengan 252.80 mata dan Alycia Lim dari Singapura melengkapkan podium dengan 171.30 mata.

Kejohanan tiga hari itu dijadualkan berakhir esok. - Bernama