BANGKOK - Kebakaran memusnahkan lebih 170 hektar hutan di Wilayah Nakhon Nayok, Thailand ketika pihak berkuasa bertungkus lumus mengawal kebakaran yang berlaku sejak malam Selasa.
Media melaporkan bahawa kebakaran bermula di gunung Khao Chaplu dan merebak ke Khao Laem di wilayah Nakhon Nayok, 114 kilometer timur laut Bangkok.
Angin kencang dan cuaca panas menyebabkan kebakaran merebak ke gunung Khao Wangree, gunung Khao Tabak dan gunung Khao Nang Dam.
Jabatan Pencegahan & Mitigasi Bencana Thailand (DDPM) memaklumkan enam helikopter dikerah membantu memadam kebakaran itu.
"Hari ini, dron akan dihantar untuk memantau kebakaran dan mengenal pasti titik panas. Ini akan memudahkan anggota bomba dalam kerja-kerja memadam kebakaran hutan.
"Helikopter akan menggugurkan air di kawasan kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada Sabtu, DDPM menerusi 175 penerbangan menggugurkan sejumlah 190,000 liter air bagi membantu memadam kebakaran hutan.
DDPM menambah bahawa ratusan anggota bomba, tentera dan sukarelawan dikerah untuk memadam kebakaran hutan dan mengelak api merebak ke kawasan pertanian dan rumah penduduk tempatan.
Media tempatan melaporkan bahawa anggota bomba sedang mewujudkan penghadang api dalam usaha mengelakkan kebakaran merebak ke taman negara tertua Thailand, Taman Negara Khao Yai. - Bernama