BATU PAHAT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendapati dalam tempoh 10 hari berpuasa hingga Sabtu, tiada peniaga yang menjual"ayam bulat” melebihi harga siling ditetapkan iaitu RM9.40 sekilogram.
Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, bagi memastikan peniaga terus patuh dengan harga ditetapkan itu, pihaknya bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) serta pemain industri akan sentiasa peka sepanjang masa.
Menurutnya, libat urus ketiga-tiga pihak secara bersama akan dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu bagi memastikan harga siling yang ditetapkan itu kekal hingga Aidilfitri nanti.
"Ini bagi memastikan keberadaan ayam bulat khususnya di pasaran mencukupi, bukan itu sahaja peniaga juga perlu patuh dengan harga ditetapkan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Edaran Bubur Lambuk dan Agihan Baucar Rahmah di Pasar Raya Econsave Yong Peng pada Ahad.
Sebelum itu, 100 penerima yang terjejas bencana banjir menerima Baucar Rahmah bernilai RM200 untuk kegunaan pembelian barangan keperluan harian selain Pasar Raya Econsave mengedarkan bubur lambuk tanda simbolik edaran sebanyak 200,000 bungkus di seluruh negara.
Jelas Salahuddin lagi, dalam tempoh berkenaan juga bukan sahaja tiada peniaga yang menjual ayam bulat melebihi harga siling, malah ada sebahagiannya terutama pasar raya termasuk Pasar Raya Econsave menjualnya di bawah harga ditetapkan.
Dalam pada itu, Pasar Raya Econsave turut menyahut seruan untuk mengadakan Jualan Rahmah dengan menurunkan harga bagi 1,003 barang keperluan antara tiga dan 50 peratus hingga 30 April ini.
Salahuddin berkata penurunan harga seperti itu memberikan kesan sangat besar kepada kemampuan rakyat untuk berbelanja sebagai persiapan menyambut kedatangan hari lebaran.
"Pemain industri seperti Econsave juga sudah memberikan jaminan kepada pihak kami untuk memberikan harga terbaik kepada orang ramai yang semestinya tidak akan membebankan,” katanya. - Bernama