Barisan Exco Melaka libatkan rakan politik Kerajaan Perpaduan

Iklan
Ahmad Zahid menyampaikan ucapan pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Dewan PPR Seri Semarak hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Barisan exco Kerajaan Melaka yang baharu akan melibatkan rakan-rakan parti politik Kerajaan Perpaduan, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, senarai exco negeri itu telah dikemukakan kepadanya oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh hari ini.

Iklan
Iklan

Pada hemat saya, ini merupakan optik (perspektif) yang baharu bukan sahaja kita menyokong Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat tetapi juga di negeri,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Santunan Kasih Ramadan 2023 di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak di sini hari in

Ahmad Zahid berkata, meskipun Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri lepas tetapi atas semangat Kerajaan Perpaduan, parti itu berhasrat berkongsi barisan exco negeri bersama parti politik dalam kerajaan itu.

Iklan

Beliau yakin Ab Rauf akan mempersembahkan nama-nama barisan exco yang melibatkan beberapa perubahan dari segi portfolio dan nama kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Kerajaan Negeri Melaka juga berkemungkinan mewujudkan jawatan timbalan exco bagi beberapa portfolio tertentu.

Iklan

Beliau turut berharap Ab Rauf dapat diberikan peluang untuk melakukan yang terbaik dan memberikan kesinambungan kepada pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.

Ditanya sama ada bekas Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis yang sebelum ini dilapor mendakwa pertukaran Ketua Menteri Melaka yang baharu sebagai"tebuk atap", akan digugurkan, Ahmad Zahid berkata beliau menyerahkannya kepada kebijaksanaan Ab Rauf.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid yakin Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada 14 Mei ini akan dapat menjalinkan hubungan lebih baik antara ahli semua parti politik dalam Kerajaan Perpaduan.

"Hakikatnya kita dalam kerajaan hari ini yang mempunyai komposisi pelbagai agama, kaum, bangsa dan latar belakang, harus menjalin rasa kekitaan dan kebersamaan dalam kalangan kita," katanya.

Pada majlis itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menyampaikan replika cek Bantuan Program, Aktiviti dan Kos Operasi kepada Maahad Tahfiz Dhiya'ul Islah berjumlah RM100,000, sumbangan RM10,000 kepada Surau Jumaat Al-Husna dan sumbangan tunai kepada 100 asnaf dengan jumlah keseluruhan RM10,000. - Bernama