32 OKU penglihatan sertai Khatam al-Quran 2.0 Sinar Islam Plus

Iklan
Program itu akan diadakan pada 7 April bermula jam 5 petang di Studio F Kumpulan Karangkraf, Shah Alam. (Foto Bernama) - Gambar kecil: Meen Tahrin

SHAH ALAM - Meneruskan tradisi sambutan Nuzul Quran, pada tahun ini, sekali lagi bahagian Islamik Sinar Harian, Sinar Islam Plus (SI) mengadakan Majlis Khatam al-Quran, kali ini mengangkat nama Majlis Khatam al-Quran 2.0.

Program itu akan diadakan pada 7 April bermula jam 5 petang di Studio F Kumpulan Karangkraf, Shah Alam bertemakan ‘Tinta Emas Mencipta Generasi Taqaddum’.

Iklan
Iklan

Berbeza dengan penganjurannya pada tahun lalu yang meraikan 15 orang peserta kanak-kanak, Khatam al-Quran 2.0 menampilkan 32 warga orang kelainan upaya (OKU) penglihatan sebagai peserta.

Menurut Pengarah Projek, Meen Tahrin, peserta yang dipilih adalah daripada kalangan ahli Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) dan Yayasan Maghfirah.

Iklan

"Sinar Islam Plus sentiasa berusaha memartabatkan keindahan agama suci ini menerusi apa jua platform media tidak kira medium cetak mahupun media sosial.

"Nur Islam jelas terpancar menyinari hati hamba pilihan ALLAH tanpa mengira sesiapa pun.

Iklan

"Apatah lagi, apabila seseorang itu adalah warga kelainan upaya contohnya buta, namun hati mereka sangat celik lantas berupaya membaca dan menghafaz al-Quran dengan sempurna.

"Maka itu adalah suatu bentuk tauladan terbaik bagi kita yang normal untuk sama-sama menjadikan al-Quran sebagai pedoman kehidupan,” jelasnya.

Sementara itu, dua orang mualim yang bertauliah akan membimbing para peserta ketika acara berlangsung.

Meen berkata, sebagai tanda penghargaan, setiap peserta akan diberikan sijil berserta senaskhah al-Quran dan beberapa hadiah iringan lain.

"Kami berharap agar majlis ini memberi inspirasi kepada Muslimin seluruhnya untuk menjadikan al-Quran dan tafsir al-Quran sebagai bahan bacaan utama serta sumber rujukan mereka.

"Semoga program ini berupaya menggalakkan umat Islam daripada segenap generasi mencintai warisan agung peninggalan Nabi Muhammad SAW, seterusnya dijadikan sebagai amalan rutin dan panduan kepada kehidupan kita,” katanya.

Majlis itu akan dipancarkan secara langsung melalui semua platform media sosial Sinar Harian termasuk Facebook Sinar Islam Plus, SinarPlus dan Sinar Bestari.