SHAH ALAM - Selebriti masakan terkenal, Khairul Amin Kamarulzaman tampil menjawab teguran pakar perubatan, Dr Rafidah Abdullah terhadap masakannya yang dikatakan tidak sihat disebabkan penggunaan minyak yang banyak.
Usahawan muda itu menerusi perkongsian video di Instagram berkata, sebagai penghasil kandungan, beliau bertanggungjawab mempamerkan realiti sebenar cara penyediaan sesuatu masakan.
Ujarnya yang lebih dikenali sebagai Khairul Aming, bagi mereka yang jarang memasak di rumah akan menganggap kuantiti bahan asas yang ditunjukkan adalah berlebihan sedangkan, ia sama sahaja seperti di kedai makan di luar sana.
"Kalau kalian tidak biasa masak, terus pergi beli di kedai makan, kalian tidak rasa bersalah sangat.
"Tetapi apabila saya tunjuk video masak, orang komen banyak minyak, (sedangkan) sebenarnya sama sahaja macam di kedai makan.
"Cuma kita tidak sedar sebab kita tak pernah masak benda (masakan) tersebut.
"Namun apabila saya tunjukkan cara penyediaannya, sekurang-kurangnya kalian boleh sedar (tentang perkara ini) lebih awal dan membuat pilihan sendiri sebelum nak pilih makanan," katanya pada Isnin.
Dr Rafidah menerusi ciapan di Twitter pada Ahad meminta supaya pempengaruh popular itu menyediakan resipi sihat kepada orang ramai.
Menjawab teguran segelintir pihak yang meminta beliau mengurangkan minyak dan menggantikan bahan sedia ada dengan yang lebih sihat, Khairul Aming menjelaskan, tindakan itu boleh dilakukan, tetapi ia akan mengubah tahap kesedapan masakan tersebut.
"Kalau nak sambal yang sedap, kita kena masak dalam minyak yang banyak supaya ia pecah minyak.
"Kalau nak ayam goreng yang berair dan rangup, kena goreng dalam minyak yang banyak. Itulah cara ia disediakan. Kalau nak ubah boleh, tapi jadi tak sedap macam yang asal," ujarnya.
Bagaimanapun beliau mengakui dirinya tidak boleh memuaskan hati semua pihak, jadi terpulang kepada individu untuk mengubahnya menjadi menu yang lebih sihat.
"Sekarang apabila saya tunjuk cara masakannya, sekurang-kurangnya kalian sedar. Maksudnya kalau beli mi goreng di kedai, banyak ini minyak masak yang digunakan. Jadi sekarang anda boleh buat pilihan sendiri.
"Kalau saya ubah resipi, ia akan jadi kurang sedap. Kemudian apabila orang cuba dan tak sedap, dia maki saya balik. Jadi saya tak boleh puaskan hati semua orang. Sebab dalam Malaysia, suka atau tidak, bukan semua orang sedang diet, nak jaga badan.
"Kalau anda nak ubah resipi, atau nak tukar bahan lain, boleh tak ada masalah. Boleh buat ikut selera masing-masing, tetapi yang penting apabila dah makan nanti, sentiasa kawal kuantiti makanan," jelasnya.