Usul pengeluaran KWSP tak dibahas, pembangkang keluar dewan

Iklan
Pembangkang bertindak keluar dewan susulan tidak berpuas hati dengan usul membahaskan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang ditolak. (Gambar kecil: Wan Ahmad Fayhsal)

KUALA LUMPUR - Barisan Ahli Parlimen pembangkang mencetuskan sedikit kekecohan di Dewan Rakyat pada Isnin apabila mereka bertindak keluar dewan susulan tidak berpuas hati dengan usul membahaskan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang ditolak.

Sebelum itu, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong enggan melayan kekecohan yang ditimbulkan pembangkang untuk merujuk Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Iklan
Iklan

"Kalau tidak puas hati boleh berjumpa dengan Speaker (Datuk Johari Abdul)," katanya.

Keputusan itu dibuat apabila Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal (PN-Machang) bangun mempertikaikan keputusan Johari yang menolak usul tergempar yang telah dibuat bawah 27 (1) untuk membawa Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengelirukan dewan berkaitan dengan kuasa pengecualian cukai kononnya mutlak di bawah Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sahaja.

Iklan

Wan Ahmad Fayhsal turut memohon sidang Dewan Rakyat ditangguhkan mengikut Perkara 18 (1) dan (2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat untuk memberi laluan kepada usul itu bagi membincangkan pengeluaran lanjut KWSP secara bersasar kepada rakyat yang terdesak.

Apatah lagi katanya, rakyat telah memberi isyarat yang begitu mendesak sehingga sanggup bertindak berjalan kaki ke Istana Negara.

Iklan

"Masalah ini harus dibincangkan ini masalah terdesak, rakyat mahu keputusan ini dibahaskan.

"Ada yang sanggup jalan kaki ke istana untuk nyatakan pendirian mereka. Apakah kerajaan tak sedar rakyat tunggu keputusan yang dibuat," katanya.

Alice bagaimanapun kekal dengan keputusan tidak melayan desakan pembangkang dan menasihatkan mereka untuk menghantar surat berkenaan perkara itu kepada Johari.

Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang) kemudiannya bangun mempertahankan perkara sama dengan alasan untuk kepentingan rakyat.

Sejurus itu, Hamzah berkata, pihaknya akan bertindak keluar dewan sekiranya Dewan masih enggan membahaskan usul berkenaan.

Alice tetap mempertahankan keputusan dan enggan memanjangkan kekecohan tersebut.

"Kalau mahu keluar, keluar sahaja," katanya.

Kesemua Ahli Parlimen pembangkang kemudiannya keluar mengosongkan blok mereka dan masuk semula ke dewan kira-kira 20 minit kemudian selepas mengadakan sidang media di lobi Parlimen.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof mempersoalkan tindakan tersebut yang dilihat seolah-olah kurang berminat membincangkan usaha-usaha dalam meningkatkan penjanaan pendapatan negara termasuk melalui pembentangan RUU Kewangan 2023 dan RUU Levi Keuntungan Luar Biasa (Pengesahan) 2023.

"Ahli Parlimen Pembangkang semua keluar dari Dewan Rakyat menjelang agenda pembentangan RUU.

"Adakah mereka tidak berminat untuk berbahas RUU Kewangan 2023 untuk menambah hasil negara termasuk RUU Levi Keuntungan Luar Biasa (Pengesahan) 2023 ?” soalnya dalam ciapan di Twitternya.