JOHOR BAHRU – Polis telah selesai merakamkan percakapan Nabila Sedu, 31, ibu kepada empat beradik mangsa kebakaran di Kampung Sabak Awor, Muar, minggu lalu.
Perkara berkenaan disahkan Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz yang mengatakan rakaman percakapan berkenaan selesai dijalankan pada lewat petang Ahad.
"Setakat ini, kedua ibu bapa kita dah rekod (selesai sesi rakaman percakapan), di mana hari ini kita selesai sesi rakaman percakapan dengan ibu mangsa, (Nabila Sedu) dan sebelum itu (Sabtu), kita telah selesai merakam percakapan dengan bapa mangsa (Thein Ko Htut).
"Kita juga akan panggil dan rakam percakapan saksi-saksi lain seperti jiran-jiran selepas ini bagi membantu siasatan.
"Selain itu, kita juga menunggu laporan daripada pihak bomba, namun pihak bomba masih belum dapat memberikan tarikh untuk laporan berkenaan diperolehi,” katanya pada Isnin.
Rabu lalu, empat beradik berusia tiga hingga lapan tahun, maut dalam insiden kebakaran di sebuah rumah di Jalan Ismail, Kampung Sabak Awor, Muar.
Puteri Aisyah Tenko To, 8, Mohd Hakim, 6, Mustakim, 4, dan Fatihah Aisyah, 3, ditemukan maut dalam bilik air di bahagian dapur rumah yang didiami mereka dipercayai cuba menyelamatkan diri dalam insiden kebakaran terbabit.
Ketika kejadian, Ko Htut dilaporkan tiada di rumah kerana bekerja sementara Nabila pula keluar seketika dengan meninggalkan kesemua kanak-kanak mereka di rumah.
Untuk rekod, Nabila dan Htut dipanggil untuk dirakam percakapan berikutan polis mahu menjalankan sisasatan terperinci termasuk meneliti sekiranya terdapat elemen kecuaian sehingga mengakibatkan kematian empat beradik berkenaan dalam insiden kebakaran itu.
Kesemua jenazah telah selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam, Batu 6, Bakri, Muar, sekitar 8.15 malam, Khamis lalu.