TAWAU - Perbuatan keji seorang lelaki merogol anak tirinya berusia 12 tahun akhirnya terbongkar sebelum dia ditahan polis di sini, pada Sabtu.
Suspek warga asing berusia 32 tahun itu disyaki melakukan perbuatan terkutuknya itu di sebuah rumah di kawasan kebun kelapa sawit di Merotai.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa tinggal bersama suspek bermula awal bulan ini.
Katanya, mangsa kemudian telah menghubungi ahli keluarganya bagi membongkar perbuatan keji suspek sebelum tindakan segera diambil.
"Berdasarkan maklumat yang diterima, sepasukan polis daripada Balai Polis Bombalai bergegas ke lokasi untuk menjalankan operasi mengesan dan menahan suspek," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Katanya lagi, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa sebarang dokumen diri yang sah," katanya.