KOTA BHARU - Doktor-doktor kontrak di Kelantan menyokong kesemua tuntutan Mogok Doktor Malaysia kepada kerajaan tetapi tidak melakukan sebarang tunjuk perasaan kerana beranggapan tindakan itu bukan langkah profesional.
Dua doktor kontrak wanita yang ditemui berpandangan langkah terbaik ialah mengadakan perbincangan bersama pihak-pihak berkaitan atau atasan bagi mengatasi isu berbangkit.
Salah seorang doktor kontrak yang hanya mahu dikenali sebagai Azi, 28, mengakui terbeban dengan waktu kerja yang panjang tetapi bayaran sedikit namun lebih memikirkan keutamaan dan kepentingan pesakit.
"Saya ‘on call’ sejak 8 malam tadi sampai sekarang belum tidur (jam 12 tengah hari). Dengan bayaran RM10 sejam, kerja doktor kontrak ini memang tertekan sebab kepenatan.
"Nak tak nak kena hadap sebab kesian kepada masyarakat, kalau pergi ke swasta kos rawatan lebih mahal bagaimanapun saya amat bersetuju untuk tuntutan mudah diserap ke jawatan, dinaikkan gaji, dipendekkan waktu kerja dan diberi cuti lebih lama kepada doktor kontrak,” katanya ketika ditemui di sebuah hospital di sini pada Isnin.
Seorang lagi doktor kontrak dikenali sebagai Siti, 30, berkata, keadaan tekanan yang dialami doktor-doktor kontrak di negeri-negeri luar dari Kelantan seperti Selangor dan Negeri Sembilan mungkin lebih teruk kerana faktor kos sara hidup.
"Kelantan terbuka dan bebas sahaja untuk bersuara, tetapi tidak ada mogok. Berbeza dengan majoriti kawan-kawan saya iaitu doktor-doktor kontrak yang bertugas di negeri lain ada kongsikan gambar mereka melakukan mogok di kawasan masing-masing seperti di Kuala Lumpur.
"Mereka ini ada yang sudah berkhidmat sebagai doktor kontrak sejak tahun 2016 dan belum diserap sebagai tetap, itu yang mendukacitakan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, sehingga kini terdapat 1,494 doktor kontrak yang berkhidmat di hospital-hospital dan klinik-klinik kesihatan di negeri ini.
"Perkhidmatan kesihatan di Kelantan tidak terjejas dan berjalan lancar pada hari ini (Rabu).
"Tidak ada mogok dilakukan sama ada cuti sakit atau kecemasan dibuat oleh mereka di negeri ini,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan mogok tersebut akan berlangsung selama tiga hari bermula pada Isnin hingga Rabu ini.