Bekalan air Perak Tengah, Manjung dijangka pulih minggu ini

Iklan
Mohammad Nizar mendengar penerangan daripada Ishak (enam dari kanan) ketika melawat LRA Teluk Kepayang, Bota pada Isnin.

PARIT - Bekalan air ke 79,360 akaun pengguna di daerah Manjung dan Perak Tengah yang terjejas sejak empat hari lalu dijangka pulih lebih 50 peratus pada Selasa.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kerja-kerja pembaikan paip air yang terputus akibat pergerakan tanah di mukasauk Loji Rawatan Air (LRA) Teluk Kepayang, Bota di sini berjaya disiapkan.

Iklan
Iklan

Beliau menjangkakan bekalan air di ke dua-dua daerah itu akan pulih sepenuhnya selewat-lewatnya pada Sabtu.

"Kerja-kerja dilakukan 24 jam bagi memastikan bekalan air dapat disalurkan terutama hospital dan lain-lain. Hari ini sekitar 30 peratus air dapat kita salurkan dan baki 70 peratus akan disalurkan secara berperingkat.

Iklan

"Jangkaan sebelum ini dalam situasi buruk, bekalan pulih pada 8 April tetapi melihat perkembangan hari ini, bekalan air dapat disempurnakan sebelum tarikh itu," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di LRA Teluk Kepayang, Bota pada Isnin.

Hadir sama, Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP), Datuk Ishak Abd Rahman.

Mohammad Nizar

Iklan

Menurut Mohammad Nizar, jumlah kos pembaikan belum dikenal pasti namun ia ditanggung oleh pihak kerajaan.

"Pembaikan paip pecah 1,200 milimeter (mm) diameter telah disiapkan begitu juga kerja-kerja mengimpal 'endcap'.

"Kerja-kerja tanah hampir siap dilakukan dengan melakukan penambakan, memasang cerucuk dan sebagainya. Ia satu kerja yang banyak, kos ya g tinggi tetapi semua dibuat bagi mengelak kejadian kembali berulang," katanya.

Jelas beliau, LAP telah menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan terjejas mengikut jadual yang ditetapkan selain menempatkan 48 tangki statik.

"Hampir 80,000 pengguna terjejas termasuk Pulau Pangkor Kita berusaha agar bekalan ke pulau itu dapat kita salurkan secepat mungkin mengikut jadual yang dikeluarkan.

"Terima kasih kepada operator air daripada beberapa negeri yang membantu. Kejadian ini memberi banyak pengajaran dan LAP telah merancang untuk menambah baik rumah pam ini," katanya.

Mohammad Nizar (kanan) ditemani Ishak (dua dari kanan) meninjau kerja-kerja di LRA Teluk Kepayang, Bota susulan terputusnya bekalan air di daerah Perak Tengah dan Manjung.

Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kenyataan berkata, antara punca kelewatan menyalurkan semula bekalan air adalah disebabkan berlaku 'tripping' ketika cuba menjalankan pam air mentah loji terlibat adalah tidak tepat.

"Sistem TNB telah terjejas kerana kabel bawah tanah yang berkongsi laluan dengan paip air telah terkena korekan pihak LAP sewaktu kerja-kerja pembaikan paip

"Bekalan elektrik ke loji tersebut telah diberikan melalui janakuasa bergerak," katanya.

Jelasnya, pasukan teknikal TNB yang berada di lapangan telah bekerjasama dengan pihak LAP bagi memastikan kerja-kerja pembaikan paip dapat dilaksanakan dengan teratur tanpa menjejaskan aset-aset kritikal yang boleh menyebabkan gangguan bekalan elektrik berulang.

"Kerja-kerja pembaikan paip telah disiapkan oleh LAP pada jam 8.30 pagi (Isnin), TNB telah memberikan bekalan elektrik melalui sistem grid pada jam 8.55 pagi," katanya.