Damok laung amaran dari Argentina

Iklan
Aksi Syarifuddin ketika perlumbaan Moto3 GP Argentina di Litar Termas de Rio Hondo.

PELUMBA Moto3 sensasi negara, Syarifuddin Azman mula melaungkan amaran kehadirannya di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia bukan sekadar pelengkap apabila mengutip lima mata pertama musim ini pada Grand Prix (GP) Argentina di Litar Termas de Rio Hondo.

"Syukur Alhamdulillah saya berjaya menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-11 di GP Argentina.

Iklan
Iklan

"Namun saya akui sebenarnya agak sukar berlumba di sini dengan keadaan litar basah dan licin yang menyaksikan beberapa pelumba di hadapan saya terjatuh semasa perlumbaan.

"Biarpun begitu saya gembira apabila dapat menghabiskan perlumbaan pada tempat ke-11 di trek yang kali pertama saya berlumba,” kata pelumba berusia 21 tahun itu dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Pada perlumbaan itu, Syarifuddin yang lebih dikenali Damok menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 dengan catatan masa 35 minit dan 32.132 saat (s) selepas memulakan perlumbaan di kedudukan ke-20.

Sebagai rekod, ini merupakan mata pertama diraih pelumba MT Helmets-MSI itu yang kali pertama beraksi dalam saingan musim penuh selepas mengakhiri cabaran di tempat ke-22 di GP Portugal, minggu lalu.

Iklan

Pelumba Jepun, Tatsuki Suzuki (35:18.099s) mengungguli perlumbaan di Wilayah Santiago del Estero itu diikuti pelumba Brazil, Diogo Moreira (35:22.670s) dan Andrea Migno dari Itali ketiga (35:22.798s).

Sementara itu, Damok turut berterima kasih kepada kru pasukannya yang bertungkus lumus dalam mempersiapkan jenteranya untuk perlumbaan tersebut.

"Terima kasih kepada pasukan saya yang bertungkus lumus dalam perlumbaan kali ini dan tidak lupa buat semua penaja saya. Jumpa anda di Austin nanti,” ujarnya.

Lima mata itu menyaksikan Syarifuddin kini berkedudukan ke-17 keseluruhan dalam senarai pelumba Moto3.