KOTA BHARU - Seorang kanak-kanak berusia enam tahun di Kampung Bukit Marak di sini kini 'sendirian' apabila ibu, ayah dan abangnya cedera parah sementara adik bongsu maut dalam kemalangan di kilometer 49, Jalan Kota Bharu - Kuala Terengganu, di sini pada Sabtu.
Mohd Hadif Mohd Hafiz, 6, yang hanya mengalami luka kecil semasa kejadian dilihat masih lagi trauma dan tidak banyak bercakap semasa ditemui pemberita pada Isnin.
Ayahnya, Mohd Hafiz Daud, 35, dan ibu, Siti Idayu Lah, 35, serta abangnya, Mohd Hafiy, 10, kini sedang menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Adik bongsunya, Mohd Hanif, 5, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah.
"Masa dalam kereta saya tidur, sedar-sedar ada di bawah.
"Saya tengok adik mati, ibu dan ayah di depan kepala tunduk, darah banyak," kata Mohd Hadif semasa berkongsi detik ngeri yang dilalui semasa kejadian.
Sebelum kejadian, lima beranak itu dalam perjalanan pulang dari Sungai Tong, Terengganu selepas pulang menyambut Ramadan di rumah keluarga sebelah ayah.
Sementara itu, ibu saudara Mohd Hadif, Rohani Lah, 52, dia menerima panggilan sekitar jam 3.30 petang yang memaklumkan tentang kemalangan menimpa keluarga adik bongsunya itu, Siti Idayu.
"Kami semua pun masih terkejut dengan kejadian ini, apatah lagi Hadif yang mengalaminya.
"Semalam (Ahad) Mohd Hafiy sudah selamat menjalani pembedahan tetapi masih tidak sedarkan diri.
"Kedua ibu bapa mereka sudah sedarkan diri, tapi masih lemah dan perlu menjalani pembedahan dalam masa terdekat," katanya.
Menurut Rohani, Mohd Hafiz bekerja sebagai pemandu lori manakala Siti Idayu seorang suri rumah.
Dia memberitahu, buat masa sekarang Mohd Hadif akan dijaga oleh keluarga terdekat.
"Saya dimaklumkan Mohd Hafiz dan Siti Idayu memerlukan perbelanjaan segera sebanyak RM10,000 untuk pembedahan implan," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) atas nama kakak mangsa, Rohani Lah @ Abdullah di 03018021329900.