BEIJING - China dan Malaysia mencapai konsensus penting tentang pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Malaysia sekali gus merangka cetak biru bagi perkembangan hubungan kedua-dua negara pada era baharu.
Demikian kata Perdana Menteri China, Li Qiang semasa bertemu dengan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dalam rangka lawatan rasmi di China, pada Sabtu.
Beliau berkata, kedua-dua pihak harus berpegang kepada konsensus tersebut dan mendorong kerjasama kedua-dua negara berkembang ke arah lebih bermutu tinggi.
"Di samping itu, kita harus meningkatkan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara serta menyumbang kepada keamanan, kestabilan, pembangunan dan kemakmuran serantau, bahkan dunia,” kata Li.
Menurut beliau, China dan Malaysia sebagai negara membangun dan pasaran baru muncul perlu memanfaatkan kelebihan masing-masing untuk memperkasakan kerjasama dua hala pada fasa seterusnya, meningkatkan penyelarasan strategi pembangunan dan meningkatkan tahap keterbukaan demi mendorong pembangunan bersama.
"China mengalu-alukan Malaysia untuk terlibat lebih mendalam dalam rantaian perindustrian, bekalan, data dan modal insan di negara ini, mempergiat kerjasama dalam sektor baharu, serta mendorong penaiktarafan kerjasama kedua-dua pihak ke arah inovatif, cerdas, digital dan hijau.
"China bersedia meningkatkan pengimportan produk berkualiti tinggi dan istimewa dari Malaysia, mengintensifkan kerjasama pertanian, merapatkan persahabatan dan rasa saling percaya, serta mempergiat kerjasama dalam bidang pendidikan, kebudayaan dan pelancongan" kata Li.
Beliau berkata, China bersedia berganding bahu dengan negara-negara ASEAN termasuk Malaysia untuk mempercepat rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan, bersama-sama memelihara kedamaian dan kestabilan di rantau ini.
Sementara itu, Anwar berkata, China merupakan sahabat akrab bagi Malaysia dan pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia komited untuk meningkatkan hubungan persahabatan dengan China.
Beliau berkata, pihaknya menyokong dasar Satu China, Inisiatif Keselamatan Global (GSI), Inisiatif Pembangunan Global (GDI) dan Inisiatif Peradaban Global (GCI) anjuran China.
Anwar berkata, Malaysia turut bersedia merancakkan kerjasama dengan China di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan mengintensifkan kerjasama kedua-dua negara dalam sektor automobil, tenaga, kebudayaan dan pelancongan, pertanian dan ekonomi digital serta meningkatkan pertukaran individu.
Selepas rundingan itu, kedua-dua pemimpin turut menyaksikan majlis menandatangani beberapa dokumen kerjasama dua hala termasuk dalam bidang ekonomi, perdagangan, pertanian dan kastam. - Bernama