KUALA LUMPUR - Orang ramai terutama pengguna Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) terpaksa menggunakan perkhidmatan bas tambahan berikutan penutupan enam stesen Laluan Ampang/Sri Petaling sejak Ahad.
Tinjauan Sinar Harian pada Isnin mendapati meskipun perkhidmatan enam stesen berkenaan dihentikan iaitu Bandaraya, Sultan Ismail, PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur, namun perjalanan orang ramai ke destinasi masing-masing berjalan lancar.
Ini kerana Rapid Rail Sdn Bhd menyediakan perkhidmatan bas ekspres percuma LRT13 dan LRT14 sebagai tambahan bas LRT11 sedia ada.
Meskipun terpaksa bersesak sedikit dan mengambil masa agak lama daripada biasa, namun tiada insiden penumpang terkandas berlaku.
Bagi guru sesi petang, Norsyahida Abd Rahman, 26, berkata, ketiadaan perkhidmatan LRT menyebabkan dia terpaksa keluar rumah seawal jam 10 pagi untuk ke sekolah.
"Selalu saya akan naik LRT dari stesen Sentul ke Bandaraya, tapi sebab ditutup terpaksa naik bas untuk ke sekolah,” katanya yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Sultan Hishamuddin," katanya.
Warga emas, Muthu Letchummy, 72, yang sering menggunakan perkhidmatan LRT untuk melawat rumah saudaranya di ibu kota terpaksa menunggu agak lama kerana tidak tahu perkhidmatan di stesen Sentul Timur dihentikan.
"Kena ambil masa lama sikit dari hari biasa, dua jam untuk sampai ke stesen Bandaraya tetapi tak payah bayar tambang itu yang mudah tapi bas penuh dengan orang,” katanya
Pekerja swasta Jefri Sufian, 39, berkata dia tidak menyangka perkhidmatan Laluan Ampang/Sri Petaling LRT dihentikan kerana perlu menghantar dan mengambil dokumen pejabatnya.
"Saya pejabat di Petaling Jaya, kereta rosak jadi terpaksa guna LRT untuk urusan kerja hari ini, saya jangka boleh sampai ke Petaling Jaya dalam tengahari tapi nampaknya sampai petang juga baru boleh selesai," katanya.
Bagi peniaga, Asmawati Hamdan, 35, berkata, dia menggunakan LRT setiap hari untuk mengambil anaknya yang bersekolah di Sekolah Bandar Baru Sentul.
"Anak saya belajar dalam darjah tiga, setiap hari saya akan jemput bawanya ke kedai saya di Kompleks pertama dan kemudiannya petang naik bas pulang ke rumah di Gombak.
Menurutnya, ketiadaan LRT menyebabkan dia terpaksa keluar awal untuk mengambil anaknya dan waktu menunggu juga menjadi panjang.
Sementara itu Muhammad Haziq Izaan Alimun, 22, berpendapat bas perlu ditambah bagi mengelak kesesakan di waktu puncak.
"Kena tambah bas lagi kerana enam stesen terbabit adalah pengangkutan awam utama orang ramai untuk bergerak di ibu negara, jika tiada memang menyusahkan kerana lama,” katanya.
Difahamkan penutupan Laluan Ampang/Sri Petaling kerana kerosakan struktur dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya telah menyebabkan tren tidak dapat kembali ke Depoh LRT di Ampang untuk menjalani kerja-kerja penyelenggaraan sejak 27 Januari lalu.