TELUK INTAN - Seorang pengawal keselamatan cedera di kepala selepas ditetak seorang lelaki dalam kejadian samun di Kompleks Menara Condong di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, dalam kejadian sekitar jam 2 pagi itu, mangsa berusia lewat 60-an didatangi suspek yang mengacukan kapak.
"Mangsa cuba mengelak dan berlaku pergelutan. Suspek menetak bahagian atas kepala lalu membawa mangsa masuk ke dalam tandas serta mengikat kaki dan tangannya.
"Suspek bertindak mengunci mangsa dari luar tandas dan memecah masuk sebuah kedai telekomunikasi dengan menggunakan 'grinder' bagi memotong pintu mangga pintu 'shutter'," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut beliau, suspek melarikan lebih 70 telefon bimbit jenama IPhone yang dianggarkan bernilai RM300,000.
Tambah Ahmad Adnan, mangsa berada dalam keadaan stabil dan telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Teluk Intan.
Jelasnya, siasatan diteruskan bagi mengesan dan menangkap suspek yang terlibat.
"Unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak membuat pemeriksaan dan berjaya menemukan beberapa barang kes yang boleh membantu siasatan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini atau suspek terlibat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di talian 05-62992222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.