IPOH - Cabaran 'Shell FuelSave 95 Challenge 2023' menyaksikan Muhammad Jazli Mahathir Jalaluddin, 30, muncul juara sebagai pemandu paling jimat minyak untuk wilayah utara pada Ahad.
Muhammad Jazli yang juga penjawat awam berjaya menewaskan empat pemandu wanita lain sekali gus membawa pulang wang tunai RM5,000.
"Saya berasa amat bertuah kerana dipilih sebagai peserta serta berjaya memenangi cabaran ini. Saya memandu dengan santai mengikut tips-tips yang diberikan dan ia memberi pengalaman berbeza dengan formula minyak baharu ini.
"Kemenangan ini merupakan rezeki untuk keluarga terutama anak dan saya terus setia menggunakan Shell kerana ia jimat minyak dan berbaloi untuk poket," katanya.
Muhammad Jazli berjaya mencatatkan 22.58km/L memperoleh juara sebagai pemandu yang paling cekap diikuti Lim Wen Jie, 25, (22.44km/ L), Norliza Sahli, 45, (22.14km/ L), Noor Liza Abu Hasan, 55, (20.55km/ L) dan Nur Halija Khalid, 27, (20.12km/ L).
Empat peserta lain menerima hadiah saguhati baucar bahan api RM500 dan Shell Helix FuelSave 4L.
Shell dalam satu kenyataan memaklumkan, lima individu berkenaan merupakan peserta bertuah yang dipilih daripada 500 pelanggan yang memohon semasa pengaktifan Shell FuelSave 95 baharu yang berlangsung di Bayan Lepas dan Ipoh, bulan lalu.
"Objektif kita adalah mencari seorang warganegara yang boleh mencapai jarak perjalanan terbaik dengan hanya satu tangki.
"Cabaran yang berlangsung di Shell Jalan Tasik di sini melihatkan lima peserta ini memandu sejauh 82.9km melalui Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Gopeng dan Jalan Ipoh - Lumut," katanya.
Tambahnya, Shell akan terus mencari pemandu yang dapat merekodkan penjimatan bahan api yang terbaik menggunakan Shell FuelSave 95 baharu yang dipertingkatkan.
26 Mac lalu, Chin Li Qin, 26, menjadi juara bagi wilayah selatan dengan mencatatkan 25.45km/ L. Li Qin dan Muhammad Jazli akan bersaing di peringkat akhir untuk memenangi hadiah utama RM20,000.
Cabaran Shell FuelSave 95 2023 seterusnya akan diadakan di wilayah Pantai Timur yang akan berlangsung di Shell Kuantan Pekan, Kuantan, Pahang, Ahad ini.