SHAH ALAM - Kebanyakan mahasiswa menyifatkan program Iftar Ala Madinah @Karangkraf bukan sekadar menawarkan juadah berbuka puasa secara percuma tetapi ia juga merupakan peluang untuk mencipta memori terindah bersama rakan-rakan.
Mahasiswi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nur Hazirah Muhd Helmi, 23, berkata, kehadirannya ke Kompleks Karangkraf bukan sahaja mahu meluangkan masa dengan rakan-rakan, malah untuk menikmati juadah berbuka puasa bersama pengunjung lain yang hadir.
"Rentetan daripada serangan wabak Covid-19, saya tidak mempunyai banyak kenangan bersama kawan-kawan kerana kaedah pengajian sebelum ini adalah secara dalam talian.
"Walaupun kini kami telah kembali ke kampus, tidak semua mempunyai masa luang yang sama. Jadi apabila mempunyai kesempatan untuk berkumpul bersama-sama, kami akan pastikan masa itu digunakan untuk mencipta momen-momen indah,” katanya ketika ditemui pada Isnin.
Ujar Nur Hazirah, kemeriahan program Iftar Ala Madinah telah tular di media sosial, TikTok sehinggakan dia mahu merasai suasana sebenar bersama sahabatnya.
Tambahnya, sebaik sahaja melihat video yang dikongsikan itu, dia berasa teruja untuk menyertai acara itu kerana ia dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat.
"Ini merupakan Ramadan pertama saya di kampus, jadi saya benar-benar gembira untuk menyambut bulan yang mulia ini dengan sahabat handai,” katanya.
Berkongsi pandangan sama, Nur Diyana Kamilah Shobri, 23, berkata, sebagai seorang pelajar tahun akhir, ini adalah masa yang tepat untuk meluangkan masa bersama rakan sekelas.
Ujar pelajar jurusan undang-undang itu, momen berbuka secara terbuka dan beramai-ramai mungkin tidak akan diperolehi di tempat lain melainkan di Kompleks Karangkraf.
"Sebaik sahaja mengetahui tentang program Iftar Ala Madinah daripada rakan-rakan fakulti, saya tidak mahu ketinggalan untuk merasai pengalaman itu, jadi saya ambil peluang yang ada dengan mengajak rakan sekelas untuk hadir bersama,” jelasnya.
Dalam pada itu, mahasiswi berkenaan turut menyifatkan inisiatif yang dijalankan oleh pihak Karangkraf merupakan satu pendekatan terbaik dalam membantu golongan memerlukan seperti para pelajar dan asnaf.
Sementara itu, mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Wan Muhammad Syahmi Wan Muhammad Sabri, 23, berkata, kemeriahan berbuka seperti di Madinah membuatkan dia terpanggil untuk menyertainya.
"Saya pernah pergi menunaikan umrah bersama-sama keluarga tetapi bukan pada bulan Ramadan, jadi apabila rakan-rakan memaklumkan suasana berbuka di sini (program Iftar Ala Madinah @Karangkraf) persis di Madinah.
"Justeru, saya jadi teruja untuk merasai pengalaman berbuka ala Madinah dan mahu mengimbau kembali memori sewaktu berada di Tanah Suci itu,” katanya.
Pada masa sama, Wan Muhammad memaklumkan bahawa program Iftar Ala Madinah @Karangkraf sedikit sebanyak dapat meringankan beban para pelajar di bulan Ramadan ini.
Jelasnya, jika program itu tidak diadakan, mereka mungkin akan membelanjakan wang sebanyak RM15 hingga RM20 sehari untuk membeli juadah berbuka.
Program Iftar ala Madinah @Karangkraf bermula sejak 24 Mac lalu hingga 18 April ini dan mampu menampung seramai 1,000 pengunjung setiap hari.