'Basah Tekak' hidupkan kembali lorong sunyi

Iklan
Lorong belakang yang dihidupkan kembali serta diberi nafas baharu dikenali sebagai 'Basah Tekak'.

SUNGAI PETANI - Lorong belakang yang sebelum ini sunyi dan sepi selain berisiko berlakunya jenayah kini diberi nafas baharu dengan fungsi dan matlamat tersendiri.

Cetusan idea dan gabungan kreativiti beberapa anak muda menjadikan lorong belakang bukan sahaja meriah dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran, jual beli dan lokasi santai, namun menjadi tumpuan baharu di bandar tersebut sepanjang Ramadan ini.

Iklan
Iklan

Terletak antara Jalan Dewa dan Jalan Patani, lorong sempit itu diberi nama 'Basah Tekak' sempena perkataan orang lama yang sering minum kopi untuk menghilangkan dahaga.

Antara jualan terdapat di situ termasuk aksesori, pakaian lelaki dan wanita, makanan, pelbagai jenis kopi, bunga segar, pencuci mulut serta biskut raya.

Iklan

Pengasasnya, Ainol Zulkarnain Zainal Abidin, 39, berkata, melalui gabungan idea pengusaha dan usahawan muda, lot bazar dengan penyertaan 16 peserta dibuka bagi merancakkan Basah Tekak sepanjang Ramadan ini.

Lukisan mural menjadi tarikan baharu lorong belakang yang sebelum ini sunyi dan sepi.

"Lorong sepanjang 150 meter ini terbiar dan suram sebelum ini, selain itu saya difahamkan sering berlaku jenayah. Selepas kami ambil alih premis bersebelahan ini pada 2021 untuk dijadikan kedai kopi dan kafe, kami lihat lorong ini mempunyai potensi untuk dibangunkan.

Iklan

"Pada mulanya kami jalankan aktiviti perniagaan kecil-kecilan, namun awal Februari lalu kami mula lukis mural dinding dan membersihkan tempat ini supaya lebih ramai anak muda dapat menyertai kami untuk berniaga secara serius," katanya.

Jelas Ainol, bermodalkan kira-kira RM20,000 dan berkolaborasi dengan jenama fesyen tempatan, kawasan itu kini bersih serta dihiasi pelbagai dekorasi bertemakan ‘vintage’.

Salah seorang peserta, Nursyamila Norsuhaimi, 28, berkata, peluang yang diberikan untuk berniaga di situ dimanfaatkan sebaik mungkin dengan menjual pakaian kasual wanita yang menepati citarasa anak muda masa kini.

Sebanyak 16 lot jualan disediakan di Basah Tekak sepanjang Ramadan ini.

"Kami lihat sambutan sangat menggalakkan kerana di sini menghimpunkan usahawan dan pengunjung muda, ia memudahkan penjual dan pembeli memahami kehendak dan keinginan yang sama,"katanya.

Menurut Nursyamila, harga sewa tapak yang ditawarkan antara paling rendah iaitu RM950 sebulan dan sesuai untuk golongan muda yang baharu ingin menceburi bidang usahawan sekali gus meningkatkan ekonomi keluarga di samping persediaan menyambut Aidilfitri.

Seorang lagi peserta, Muhammad Fattah Shahari, 30, berkata, selain menjadi pelukis mural yang mengubah lanskap dan pemandangan lorong belakang ini, dia teruja kerana turut diberi peluang berniaga manisan timur tengah yang dikenali sebagai kunafa di salah satu tapak di situ.

Muhammad Fattah yang turut berpengalaman dalam rekaan grafik dan hiasan dalaman menjelaskan, lukisan dinding yang dihasilkan berjaya menjadi tarikan baharu di Sungai Petani.

"Tiada lagi di Kedah yang buat konsep seperti ini di mana pengunjung boleh beli barang, minum kopi dan 'selfie', harga barang di sini juga berpatutan, boleh dijadikan lokasi kunjungan keluarga terutama golongan muda yang sukakan suasana segar dan 'happening'," jelasnya.