Bila pengeluaran KWSP dipolitikkan

Iklan
Pencarum KWSP berusia 40 hingga 54 tahun boleh memohon pinjaman bank menerusi Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) bermula 7 April ini.

ISU pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukanlah satu perkara baharu tetapi kebelakangan ini dilihat menjadi satu topik yang dipolitikkan.

Semuanya bermula sewaktu negara dilanda Covid-19 yang mana pada ketika itu rata-rata rakyat Malaysia terkesan dan tidak mempunyai pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Iklan
Iklan

Kerajaan terdahulu mengambil pendekatan untuk membenarkan pencarum mengeluarkan sebanyak 10 peratus daripada Akaun 1 dan had pengeluaran berjumlah RM60,000.

Jika dilihat semula, pendekatan yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini sememangnya boleh membantu kehidupan rakyat sewaktu mendepani masalah wabak berkenaan.

Iklan

Sebaik sahaja negara berada dalam fasa peralihan endemik Covid-19, boleh dikatakan rakyat yang terkesan sewaktu wabak itu mulai mendapatkan pekerjaan dan kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Bagaimanapun, tidak semua bernasib baik untuk mendapatkan pekerjaan dan ada di antara mereka yang terpaksa berhadapan dengan masalah bebanan hutang yang tidak berpenghujung.

Iklan

Justeru, permasalahan yang dialami oleh golongan itu mulai menjadi perhatian ahli politik yang kononnya memahami situasi yang terjadi.

Sewaktu negara di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, isu pengeluaran KWSP turut hangat diperkatakan.

Sinar Harian melaporkan pada 9 Mac tahun lalu, Ketua Pembangkang ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pengeluaran KWSP dibenarkan dengan segera setelah menyifatkan kerajaan gagal membantu rakyat yang terdesak.

Bagaimanapun, sebaik sahaja Ahli Parlimen Tambun itu menjadi Perdana Menteri, isu memperjuangkan pengeluaran KWSP dilihat tidak mempunyai jalan penyelesaian.

Malah Anwar dilaporkan berkata, kerajaan akan mencari jalan yang lebih sesuai bagi mengurangkan beban rakyat tanpa mengeluarkan simpanan KWSP.

Susulan itu pada 9 Mac lalu, kerajaan memperkenalkan kaedah yang membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman di agensi tersebut sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan.

Semalam, KWSP mengumumkan pencarum berusia 40 hingga 54 tahun boleh memohon pinjaman bank menerusi Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) bermula 7 April ini.

Langkah KWSP membenarkan ahli memohon pinjaman bank bermula Jumaat ini memberi sedikit kelegaan kepada pencarum menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri dua minggu lagi.

Rata-rata mereka berharap permohonan itu segera diluluskan, walaupun masih ada yang mengharapkan sekali lagi pengeluaran khas KWSP memandangkan persediaan menyambut hari raya memerlukan kos yang tinggi termasuk untuk membeli baju baharu dan barangan keperluan lain.

Bagaimanapun, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid mengingatkan pencarum akan risiko jika pinjaman FSA2 itu tidak dilunaskan dalam masa ditetapkan.

Sebelum itu di Dewan Rakyat, barisan ahli Parlimen pembangkang mencetuskan sedikit kekecohan apabila mereka bertindak keluar dewan susulan tidak berpuas hati dengan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau yang tidak membenarkan usul pengeluaran bersasar KWSP dibahaskan.

Kekecohan bermula apabila Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berdiri pada awal persidangan sesi membacakan aturan mesyuarat yang memaklumkan bahawa usulnya membahaskan isu tersebut ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.

Pun begitu dia menggesa agar usul tersebut tetap diizinkan untuk dibahaskan kerana ia melibatkan kepentingan rakyat.

Alice bagaimanapun kekal dengan keputusan tidak melayan desakan pembangkang dan menasihatkan mereka untuk menghantar surat berkenaan perkara itu kepada Johari.

Perkara itu kemudian menarik perhatian Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli yang menjelaskan empat sebab kerajaan tidak membenarkan pengeluaran bersasar KWSP.

Menerusi hantaran di Facebook beliau pada Isnin, Rafizi menjelaskan bahawa KWSP diwujudkan untuk pencarum mempunyai simpanan di hari tua.

Katanya, pengeluaran hanya akan mengehadkan keupayaan KWSP untuk mempelbagaikan dan mengukuhkan strategi pelaburan demi mendapat keuntungan yang lebih baik.

Seterusnya kata beliau, pengeluaran akan memberi kesan kepada pencarum lain walaupun mereka tidak mengeluarkan wang KWSP kerana pulangan secara keseluruhan akan menjadi rendah.

Rafizi berkata, sekiranya pencarum mati sekalipun, simpanan dalam KWSP akan dapat kepada waris.