KOTA BHARU - Pengamal media Kelantan termasuk wartawan dan jurugambar memperuntukkan dana RM10,000 menerusi Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) bagi meraikan lebih 3,000 asnaf menerusi lima program berasingan bulan ini.
Presiden KEMUDI, Majidah Ismail berkata, dana diperoleh menerusi sumbangan dan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk syarikat swasta, korporat serta persendirian.
Beliau berkata, bantuan dan sumbangan itu mengutamakan golongan kurang kemampuan seperti ibu tunggal dan anak-anak yatim yang belum dibantu oleh mana-mana pihak.
"Hari ini istimewa bersama penaja, FR Qaseh, kami membancuh air balang berperisa strawberi, jagung dan keladi untuk diberikan kepada 200 keluarga asnaf atau 840 individu di bawah Kelab Santuni Asnaf Kelantan (KESAN),” katanya ketika ditemui di Pusat Operasi KESAN di Tanjong Mas, di sini pada Isnin.
Turut hadir, Pengarah Urusan FR Qaseh Sdn Bhd, Mohd Faizul Rohban Ahmad dan Pengasas KESAN, Zurawati Zulkifli.
Majidah juga Penyelia Berita Ehwal Semasa Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kelantan berkata, terdapat 90 ahli daripada 16 agensi di bawah KEMUDI termasuk Sinar Harian, Media Prima, Utusan dan Harakah.
"Mereka juga adalah juruhebah dan kakitangan pentadbiran agensi media yang meluangkan masa dalam kesibukan bertugas untuk berkongsi keberkatan bulan Ramadan.
"Seterusnya, dalam perancangan dua minggu sebelum Aidilfitri, KEMUDI akan meraikan 30 pelajar tahfiz yang belum mendapat bantuan untuk dibelikan jubah bersesuaian dengan kegunaan mereka,” katanya.
Sementara itu, Mohd Faizul berkata, sumbangan kepada asnaf pada tahun ini tidak serancak tahun sebelum-sebelumnya kerana kekangan ekonomi menyebabkan banyak syarikat masih lagi dalam usaha pemulihan.
"Dalam keadaan ketidaktentuan ini, kami masih lagi mampu memberi seadanya supaya dapat membela nasib golongan asnaf yang semakin tertekan dengan peningkatan harga barangan,” katanya.