TAIPING - Insiden kebakaran stor sebuah rumah banglo dua tingkat di Jalan Kampung Benggali, di sini semalam menemukan sebahagian stok arak dan rokok dipercayai disimpan secara tidak sah oleh pemiliknya.
Susulan itu, pemilik rumah berkenaan berusia 60-an ditahan polis dan direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, tangkapan terhadap suspek yang merupakan seorang peniaga dibuat petang semalam di rumahnya susulan polis menerima maklumat terdapat penyimpanan stok arak dan rokok di stor rumah suspek.
Menurutnya, polis turut merampas beberapa botol arak dan rokok sahaja di tempat kejadian, dan tidak menolak kemungkinan suspek turut menyimpan stok mercun sebelum kebakaran berlaku di stor belakang rumahnya.
"Siasatan lanjut masih dijalankan dan suspek direman selama dua hari bermula hari ini.
"Polis juga masih menunggu laporan rasmi punca kebakaran di belakang rumah suspek petang semalam dari bomba," katanya kepada media di sini hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping, Penolong Kanan Penguasa Bomba Rafeel Hairul Richard sewaktu dihubungi menegaskan pihaknya menerima laporan kebakaran pada jam 3.40 petang semalam.
Menurutnya, sebanyak dua jentera bomba BBP Taiping dibantu dua jentera dari BBP Kamunting dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu memadamkan api kebakaran.
"Pihak kami mengambil masa setengah jam bagi mengawal kebakaran sebelum memadamkan sepenuhnya dalam tempoh sejam.
"Kebakaran itu mengakibatkan 95 peratus bahagian stor belakang rumah mangsa terbakar," katanya.
Rafeel berkata, tiada laporan kecederaan melibatkan penghuni rumah berkenaan, namun seorang anggota BBP Kamunting terpaksa dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan setelah mengalami sesak nafas.
Menurutnya, pihaknya difahamkan rumah itu dimiliki seorang peniaga yang menggunakan stor belakang rumah sebagai tempat menyimpan barangan runcit lama.
"Sewaktu kejadian berlaku, kami difahamkan pemilik rumah tinggal bersendirian sebelum meninggalkan rumah meminta bantuan setelah ternampak kebakaran marak di belakang rumahnya.
"Pihak kami menggunakan pemadaman menggunakan sumber air sungai di belakang rumah mangsa dan tangki jentera bomba. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya.