KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan akan membincangkan mengenai keperluan menubuhkan jawatankuasa khas untuk memantau laporan hasil pelaburan negara China ke Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri yang akan berlangsung pada Rabu.
"Memang kita akan bincang dalam mesyuarat esok dan langkah-langkah susulan sama ada harus ada jawatankuasa khas atau tidak, dan akan diputuskan esok.
"Setakat ini projek ini dipantau oleh MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri), MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) dan MATRADE (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia) yang saya rasa mampu untuk menyelenggarakan kerana persiapan yang dibuat oleh mereka sangat memuaskan," katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) mengenai penubuhan jawatankuasa khas untuk pantau pelaburan dari China susulan lawatan Anwar ke China baru-baru ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Tambun itu turut memaklumkan mengenai hasil positif lawatan sulung beliau ke China dari segi ekonomi dan peluang pelaburan, termasuk komitmen pelaburan sejumlah RM170 bilion yang diraih.
Beliau berkata, beberapa perjanjian persefahaman telah ditandatangani termasuk 12 melibatkan sektor perkhidmatan, 11 sektor pengilangan dan empat sektor infrastruktur.