Nilai ringgit dibuka kukuh berbanding dolar AS

Iklan
Gambar hiasan

NILAI ringgit mengukuh pagi ini dan dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS pada urus niaga Selasa selepas data indeks pengurus pembelian (PMI) pembuatan ISM Amerika Syarikat (AS) yang dikeluarkan adalah lebih rendah daripada jangkaan iaitu 46.3 mata untuk Mac, kata seorang pakar ekonomi.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan menambah nilai kepada 4.4030/4075 berbanding dolar AS daripada kadar penutup Isnin pada 4.4175/4195.

Iklan
Iklan

Terdahulu, data ISM AS dijangka rendah sedikit pada 47.5 mata untuk bulan Mac berdasarkan anggaran konsensus berbanding 47.7 mata pada bulan Februari.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pesanan baharu dan indeks pekerjaan juga turun, masing-masing kepada 44.3 (Februari: 47.0) dan 46.9 (Februari: 49.1) pada Mac.

Iklan

"Ini menunjukkan sentimen perniagaan lebih lemah untuk bulan kelima berturut-turut.

"Situasi sebegitu mungkin boleh mendorong Rizab Persekutuan AS menukar pendirian mereka selepas kenaikan 475 mata asas dalam kadar dana Persekutuan,” katanya kepada Bernama.

Iklan

Justeru, indeks dolar AS (DXY) susut 0.44 peratus kepada 102.059 mata.

"Ini bermakna ringgit boleh meningkat berbanding dolar AS seperti mata wang lain."Dolar AS dianggarkan dalam julat antara RM4.40 dan RM4.41 hari ini,” tambahnya.

Sementara itu, ringgit didagangkan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menyusut berbanding pound Britain kepada 5.4637/4693 daripada 5.4552/4576 pada penutup Isnin, merosot sedikit berbanding euro menjadi 4.7988/8037 daripada 4.7930/7952 dan susut berbanding yen Jepun pada 3.3210/3247 berbanding 3.3127/3145 sebelumnya.

Berbanding mata wang Asean pula, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi.

Mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3173/3212 daripada 3.3182/3199 pada penutup Isnin, mengukuh berbanding peso Filipina kepada 8.06/8.08 daripada 8.07/8.07 dan tinggi berbanding rupiah Indonesian kepada 294.00/294.50 daripada 295.00/295.30 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit menyusut nilai baht Thai kepada 12.8607/8799 daripada 12.8419/8537 pada penutup Isnin. - Bernama