IPOH - Operasi perkhidmatan kesihatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini dilihat berjalan lancar pada Selasa di sebalik mogok doktor kontrak yang dirancang diadakan selama tiga hari bermula Isnin.
Tinjauan Sinar Harian di Jabatan Kecemasan dan Trauma, HRPB mendapati kawasan tersebut kelihatan tenang tanpa berlaku sebarang kesesakan di luar premis.
Pesakit yang tiba dengan ambulans juga terus dibawa masuk ke dalam jabatan berkenaan untuk menerima rawatan.
Orang ramai yang ditemui juga kebanyakkannya hadir bagi memenuhi janji temu rawatan di Kompleks Klinik Pakar di hospital berkenaan.
Pada Isnin, Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak, A Sivanesan memaklumkan semua doktor kontrak di negeri ini tidak terlibat dalam mogok berkenaan.
Sehingga semalam, tidak ada doktor kontrak yang tidak hadir bertugas, mengambil cuti kecemasan mahu pun cuti tahunan bagi menyertai mogok terbabit.
Dalam laporan media sebelum ini, mogok doktor kontrak Malaysia yang bertemakan 'Mogok Black Monday' tetap diteruskan pada Isnin hingga Rabu, walaupun dilarang oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mogok doktor Malaysia menerusi hantaran di Instagram meminta semua pihak yang menyokong gerakan yang dilakukan untuk memakai pakaian berwarna hitam.
Terdahulu, KKM mengingatkan semula mengenai peraturan melarang penjawat awam daripada menyertai perhimpunan haram susulan wujud perancangan daripada doktor kontrak untuk melakukan mogok selama tiga hari bermula Isnin.
Kabinet pada Sabtu bersetuju untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Peringkat Tertinggi melibatkan beberapa kementerian dan agensi bagi menangani isu berkaitan doktor kontrak.
Dalam satu kenyataan, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mengumumkan pembentukan jawatankuasa itu beberapa hari sebelum mogok bakal dilancarkan sekumpulan doktor kontrak daripada sektor kesihatan awam.
HTAA kekal tenang, tiada mogok doktor kontrak hari kedua
Sementara itu di KUANTAN, aktiviti harian Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini berjalan lancar seperti biasa ketika wujud perancangan daripada doktor kontrak untuk melakukan mogok selama tiga hari bermula Isnin lalu hingga Rabu ini.
Tinjauan Sinar Harian di HTAA pada Isnin mendapati, tiada mogok atau perhimpunan doktor kontrak berlaku di hospital itu pada Selasa (hari kedua).
Tinjauan turut mendapati, urusan di jabatan kecemasan dan klinik rawatan harian HTAA berjalan lancar dengan pesakit yang hadir keluar dan masuk seperti biasa.
Rata-rata orang ramai dan pesakit yang ditemui mengakui lega apabila mogok doktor kontrak yang dirancang tidak berlaku.
Segalanya berjalan dengan baik sekali gus urusan pemeriksaan dan rawatan lancar dan selesai dalam tempoh kurang sejam.
Bagi Rosmawizatulakma Mohamad Rawi, 38, yang datang ke pusat rawatan harian HTAA pada Isnin dan Selasa untuk pemeriksaan buah pinggang dan menyambung bekalan ubat mengakui tidak menghadapi sebarang masalah ketika berurusan dalam tempoh dua hari itu.
Menurutnya, proses pendaftaran dan pemeriksaan pegawai perubatan berjalan teratur dan tiada kesesakan atau suasana kelam kabut luar biasa.
"Saya yakin semua doktor termasuk doktor kontrak bertugas seperti biasa dan tidak terlibat dengan mogok dirancang di hospital seluruh negara.
"Saya secara peribadi tidak setuju jika doktor melakukan mogok atau bantahan yang boleh menjejaskan kepentingan pesakit.
"Guna saluran yang betul untuk menyatakan sebarang bantahan atau rasa tidak puas hati terhadap sesuatu isu yang dihadapi," ujarnya.
Sementara itu, Farah Adiba Mohamad, 21, juga berpendapat mogok yang dirancang doktor kontrak tidak sepatutnya berlaku.
"Tindakan itu boleh menganggu operasi hospital dan urusan pesakit akibat kekurangan doktor.
"Selain boleh menyebabkan kesesakan dan suasana kelam kabut, keadaan itu juga turut merisikokan pesakit terutama pesakit kritikal yang memerlukan pemantauan dan rawatan rapi," katanya yang datang ke HTAA untuk pemeriksaan mata.
Dia awalnya gusar kemungkinan tindakan mogok turut berlaku di HTAA dalam tempoh tiga hari sebagaimana yang diuar-uarkan namun ia tidak berlaku.
"Legalah, semua urusan pemeriksaan mata di pusat rawatan harian HTAA ini berjalan dengan baik, kurang sejam sudah selesai dan dapat balik awal," ujarnya.
Tiada mogok doktor kontrak di Hospital Shah Alam
Sementara itu di SHAH ALAM tidak terdapat doktor kontrak di Hospital Shah Alam di sini yang terbabit dengan gerakan mogok dirancang pada Isnin hingga Rabu bertemakan Mogok Black Monday.
Tinjauan Sinar Harian di sekitar hospital tersebut sehingga tengah hari mendapati lobi utama hospital berkenaan dalam suasana tenang dan beroperasi dengan baik serta dalam kawalan.
Malah, tiada kelibat kumpulan doktor kontrak memakai pakaian serba hitam sebaliknya kehadiran jumlah pesakit yang ramai untuk mendapatkan khidmat rawatan sejak awal pagi.
Pengawal keselamatan di Hospital Shah Alam yang ditemui di Kaunter Informasi juga memaklumkan tiada sebarang mogok diadakan di hospital terbabit pada Isnin dan Selasa setakat ini.
Dalam pada itu, tinjauan yang dilakukan Sinar Harian di wad kecemasan juga mendapati keadaan di wad berkenaan adalah baik dan menerima pesakit seperti biasa.