SEORANG menteri wanita Perancis mencetuskan kemarahan rakyat termasuk penyokongnya sendiri apabila muncul sebagai wajah sampul majalah kontroversi Playboy.
Marlene Schiappa yang telah menyertai parti kerajaan sejak tahun 2017 muncul sebagai wajah sampul majalah lelaki dewasa itu untuk keluaran terkini.
Iklan
Iklan
Meski tidak berbogel, namun gaya posing yang ditampilkan pada majalah tersebut mencetuskan kemarahan dan disifatkan tidak bermoral bagi seorang wanita yang memegang jawatan besar dalam negara.
Schiappa yang memakai gaun putih terdedah pada bahagian dada itu muncul dalam majalah tersebut bercakap tentang hak wanita dan golongan LGBT. Dia sejak lama memang dikenali sebagai salah seorang pejuang hak-hak wanita.
Dia juga menerima kritikan yang teruk dari rakan seperjuangan dalam dunia politik yang melihat tindakannya sebagai memalukan.
Schiappa kemudian memberi respon melalui cuitan di Twitter dengan mengatakan dia menghormati pandangan semua pihak terhadap tindakannya.
"Di Perancis, wanita bebas, dan kita (wanita) memberi kawalan terhadap diri sendiri,” cuitnya seperti dilaporkan CNN. - Awani