SHAH ALAM - Jabatan Mufti Selangor memberi bayangan awal umat Islam di Malaysia akan berpuasa genap 30 hari dan kemungkinan tiada raya mengejut seperti tahun lepas.
Ia berdasarkan analisis hisab atau kiraan awal yang memaparkan hilal Syawal dijangka tidak memenuhi imkanur rukyah atau kriteria penampakan kedudukannya.
Agensi tersebut turut melampirkan jadual waktu solat untuk ketiga-tiga zon di Selangor sepanjang bulan ini dengan paparan tarikh 30 Ramadan diunjurkan pada 21 April.
Berdasarkan maklumat disiar jabatan tersebut di Facebooknya dengan data dari Balai Cerap Selangor di Sabak Bernam, altitud atau ketinggian anak bulan dari matahari ialah dua darjah 11 minit.
Sementara elongasi atau jarak lengkung pusat bulan dengan matahari diunjurkan pada kedudukan dua darjah 37 minit, sekali gus gagal menepati imkanur rukyah yang ditetapkan.
Kriteria baharu yang mula diguna pakai sejak 2021 itu mengkehendaki altitud mesti tidak kurang daripada tiga darjah, manakala elongasi pula harus lebih enam darjah 24 minit.
Jabatan berkenaan juga memasukkan nota bahawa tarikh dipaparkan itu tetap tertakluk pengumuman rasmi Penyimpan Mohor Besar, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
Di Selangor, terdapat sebanyak tiga lokasi pencerapan anak bulan iaitu Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor di Sabak Bernam.
Minggu lalu, umat Islam dikejutkan dengan tangkap layar hebahan elektronik Masjid Wilayah Persekutuan di ibu negara yang didakwa memaparkan akhir Ramadan pada 20 April ini.
Paparan itu tular kerana ia menunjukkan seolah-olah bakal mengulangi senario raya mengejut pada tahun lalu apabila anak bulan Syawal tiba-tiba kelihatan dan keesokannya adalah Hari Raya Aidilfitri.
Malahan ada kalangan warganet yang mendakwa kononnya tarikh 1 Syawal sudah pun ditetapkan lebih awal oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Susulan hantaran itu, Jakim kemudiannya mengeluarkan kenyataan yang menasihatkan agar umat Islam agar tidak membuat spekulasi sehingga mencetuskan keresahan masyarakat.
Sebaliknya umat Islam diminta akur ketetapan yang bakal diumumkan Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja setelah mendapat perkenan rasmi Yang di-Pertuan Agong sendiri.