'Tak perlu tukar nama ECRL'

Iklan
Amiruddin Hamzah

JITRA - Kesan setiap projek kepada rakyat adalah lebih penting berbanding fokus cadangan untuk menukar nama projek yang sedang diteruskan oleh Kerajaan PH hari ini.

Itu jawapan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berhubung cadangan ADUN Chembong dari Negeri Sembilan, Datuk Zaifulbahri Idris yang menyarankan kerajaan menukar nama projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kepada ECRL 2.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setiap projek yang diteruskan oleh Kerajaan PH adalah untuk memberikan kesejahteraan kepada rakyat.

"Saya ingat kita tidak mempunyai masalah untuk meneruskan projek seperti LRT (The Light Rapid Transit), MRT (Mass Rapit Transit).

Iklan

"Apa ada pada nama, kesan kepada projek yang sedang dilaksanakan itu lebih penting iaitu rakyat dapat ambil bahagian dalam setiap projek yang dijalankan.

"Kalau kita ubah nama dari A kepada B, apa kesannya? Yang penting adalah content (kandungan) dan substance (bahan) yang beri manfaat kepada rakyat," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran I-Wibawa Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Penyerahan Sumbangan Iftar Ramadan 2019 di Kompleks Pentadbiran Daerah Kubang Pasu, hari ini.

Iklan

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Junaidah Kiting dan Pengarah Urusannya, Mohamed Shamir Abdul Aziz.

Semalam, media melaporkan Zaifulbahri menerusi Sidang DUN Negeri Sembilan berkata, penjenamaan itu adalah sebagai usaha untuk mengelak PH meniru setiap usaha yang dimulakan oleh BN.

Amiruddin berkata, ECRL sebelum ini banyak menjadi persoalan dan selepas mengambil alih projek tersebut Kerajaan PH perlu memastikan ia memberikan manfaat terus kepada rakyat.

"Apabila kita meminjam wang, kita mahu memastikan rakyat Malaysia turut serta dalam projek ini. Model ECRL sebelum ini hampir 100 peratus konsultan, kontraktor, bahan mentah dan semua pekerjanya dari China. Kita tidak dapat apa, kita berhutang pada akhirnya kita mendapat produk sahaja.

"Tapi kali ini (selepas rundingan semula) 40 peratus dari projek ini rakyat tempatan turut terlibat. ECRL ini harganya terlalu besar sebab itu kita duduk bincang untuk turunkan harga," katanya lagi.