KEDAH Darul Aman (KDA) FC berazam menebus kembali kekalahan mereka kepada Penang FC pada pusingan pertama Piala FA 2023 apabila dijadualkan bertemu sekali lagi pada aksi Liga Super 2023 pada malam Rabu.
Pengendalinya, Nafuzi Zain berkata, aksi Derbi Utara kali kedua dalam tempoh hampir sebulan yang juga diadakan di Stadium Darul Aman diharapkan bakal memberikan tiga mata penting kepada Sang Kenari.
"Kita perlu terus kekal fokus di samping memastikan tidak mengulangi kesilapan yang dilalui apabila berdepan Penang FC kali ini. Kita tidak mahu lagi kecewa buat kali kedua beraksi di laman sendiri ini.
"Bagi kekal berada di kelompok atas liga, kita juga tidak boleh keciciran mata dan saya faham untuk pasukan Kedah ini tiada istilah kalah dan setiap perlawanan kita perlukan kemenangan," katanya mengulas tentang aksi ketujuh Liga Super 2023.
Menurutnya, kualiti yang dimiliki oleh Harimau Kumbang tidak boleh dipandang rendah lagi selepas pasukannya disingkirkan oleh pasukan itu pada saingan Piala FA menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 hingga ke hujung perlawanan pada 8 Mac lalu.
"Penang FC kini merupakan satu pasukan yang bagus. Mereka dibarisi pemain berpengalaman yang dapat memberi saingat yang cukup sengit buat kami. Saya tetap menganggap mereka bukan satu pasukan yang mudah untuk ditentang," ujar beliau lagi.
Sementara itu, mengulas tentang prestasi semasa KDA FC pula, Nafuzi mengakui prestasi dan corak permainan semua pemainnya semakin bertambah baik dan cuma di posisi serangan perlu diperkemaskan lagi.
"Tetapi saya percaya untuk perlawanan seterusnya di tempat sendiri kali ini (bertemu Penang FC), kita akan meningkatkan lagi aspek berkenaan temasuk semangat dan moral pemain, tambahan kita beraksi dihadapan penyokong yang begitu mengharapkan kemenangan.
"Kita juga mahu posisi lain seperti pertahanan juga perlu diperkukuhkan. Kita boleh lihat bagaimana kita dibolosi akibat kesilapan pertahanan sewaktu perlawanan menentang Sri Pahang yang lalu", kata beliau lagi.