Kutipan sampah pukal pascabanjir selesai minggu ini

Iklan
Mohd Jafni - Foto fail Awani

JOHOR BAHRU - Pengurusan sampah pukal yang terhasil akibat banjir yang melanda Johor baru-baru ini dijangka selesai sepenuhnya minggu ini.

Menurut Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, sehingga ke hari ini, kerja-kerja pembersihan telah siap dilaksanakan di seluruh negeri terutamanya di kawasan-kawasan yang terjejas teruk seperti di Segamat, Labis, Bekok, Chaah dan Batu Pahat.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, ketika ini kerja-kerja pembersihan berkenaan masih belum diselesaikan di Yong Peng yang melibatkan beberapa kampung.

"Kerja-kerja pembersihan pascabanjir dijangka selesai pada minggu ini setelah proses pembersihan yang dijalankan sudah hampir mencapai tahap 100 peratus dan ketika ini di Batu Pahat, kerja-kerja pembersihan tersebut sudah selesai dilaksanakan semalam (Isnin), sekarang yang tinggal hanya di bahagian Yong Peng melibatkan kampung-kampung sahaja.

Iklan

"Namun di Batu Pahat dan Yong Peng, ia melibatkan 120 kampung dan untuk menghantar sampah itu ke pusat pelupusan sampah di Moakil (Segamat) akan mengambil masa satu jam setengah.

"Oleh itu, bagi mempercepatkan proses pengurusan sampah ini dibuat, pihak kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan bagi mengusahakan lori tambahan dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor bagi menyelesaikan isu sampah ini,” katanya kepada pemberita sempena Program Singgah Sahur anjuran Kelab Media Johor, pada awal pagi Selasa.

Iklan

Hadir sama, Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri, Ling Tian Soon dan Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri, Norlizah Noh.

Untuk rekod, Johor memperuntukan sejumlah RM300,000 untuk pengurusan sampah pukal pascabanjir di Segamat dan Labis manakala sejumlah RM800,000 di Batu Pahat dan Yong Peng.

Sementara itu Mohd Jafni berkata, proses pengurusan sampah pukal berkenaan melibatkan lebih 11,000 premis perumahan dengan jumlah kutipan sampah pukal seluruh Johor kira-kira 5,800 tan.

Bagaimanapun katanya, tapak pelupusan sampah di Moakil, Segamat, agak luas dan mampu menampung kapasiti sampah termasuk sampah pukal yang terhasil akibat banjir yang dihantar ke kawasan tersebut ketika ini.

"Kalau diikutkan, kutipan sampah biasa setiap sehari kira-kira 200 tan, tapi bila kita menggunakan banyak kenderaan untuk selesaikan segera, ia dapat diselesaikan dalam dua minggu. Jika tidak, ia akan mengambil tempoh hampir sebulan, ditambah dengan sampah sedia ada.

"Sampah ini jika tidak diuruskan segera, ia akan mula berbau selepas tiga hari dan kita bimbang ada pembawaan penyakit dan sebagainya, sebab itu kita ambil inisiatif awal keluarkan bajet untuk selesaikan segera isu sampah ini,” katanya.