PUTRAJAYA - Malaysia bersama dengan Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand telah menyerahkan pencalonan bersama bagi pakaian tradisional Kebaya ke Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage (ICH) of Humanity bagi tahun 2023.
Kebaya merupakan pakaian yang mewakili warisan budaya dan identiti penting bagi kaum wanita Melayu, Peranakan (Cina, Baba Nyonya, Chetti, Siam) dan lain-lain masyarakat di Malaysia serta negara-negara lain di Asia Tenggara.
"Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand bersetuju secara bersama menghantar pencalonan pelbagai negara bagi Kebaya kepada UNESCO kerana ia mewakili dan meraikan kekayaan sejarah kita bersama, memupuk persefahaman silang budaya, kekal dengan kewujudannya dan diamalkan secara aktif oleh banyak komuniti di seluruh Asia Tenggara,” kata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, susulan konsensus untuk pencalonan berbilang negara, semua negara yang mengambil bahagian terlibat dalam beberapa siri mesyuarat kerja sejak awal 2022, dengan Malaysia menjadi tuan rumah bengkel fizikal pertama di Port Dickson, Negeri Sembilan pada November 2022, diikuti oleh bengkel kedua di Jakarta, Indonesia pada bulan Februari lepas.
"Bengkel terakhir yang diterajui Singapura dijalankan secara dalam talian bagi memuktamadkan dosir pencalonan pada Mac 2023,” katanya.
Menurut MOTAC, Kebaya menepati definisi elemen warisan budaya tidak ketara (ICH) kerana ia melibatkan kemahiran ketukangan tradisional seperti sulaman dan teknik jahitan untuk membuat pakaian wanita tradisional ini.
"Kebaya juga dikaitkan dengan bentuk warisan budaya lain, seperti majlis perayaan dan perkahwinan. Terdapat komuniti aktif pembuat dan pemakai Kebaya yang berkongsi dan menyampaikan ilmu serta nilai sosiobudaya Kebaya daripada satu generasi ke satu generasi berikutnya,” katanya.
MOTAC berkata, langkah pencalonan pelbagai negara secara bersama akan memastikan bahawa Kebaya dilindungi menerusi pelaksanaan kursus dan bengkel formal, usaha promosi, serta usaha dokumentasi atau penyelidikan dengan sokongan negara pencalonan dan komuniti mereka.
"Kebaya memberi peluang kepada kita untuk mempromosi dan meraikan warisan budaya bersama yang terdapat di rantau Asia Tenggara ini,” menurut kenyataan itu.
MOTAC berkata, keputusan pencalonan akan diputuskan semasa Sesi Ke-19 Jawatankuasa Antara Kerajaan bagi Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara pada 2024. - Bernama