Elak bersikap diskriminasi nafi hak rakyat Kedah - Wan Romani

Iklan
Wan Romani (kanan) membantu anak-anak yatim memilih baju raya di Mydin Mall Alor Mengkudu pada petang Isnin.

ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan diminta tidak bersikap diskriminasi terhadap negeri pembangkang biarpun kedua-dua pihak terpalit dengan kontroversi membabitkan kepimpinan tertinggi.

Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Wan Romani Wan Salim berkata, kerajaan Persekutuan seharusnya bersikap prihatin selaku pemerintah yang bertanggungjawab terhadap keseluruhan rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebarang persengketaan tidak sewajarnya mengheret kepada penafian hak negeri mahupun rakyat Kedah.

"Ini tanggungjawab semua. Rakyat di setiap negeri adalah tanggungjawab menteri untuk menjaga kebajikan mengikut portfolio masing-masing. Jika wujud diskriminasi, seolah-olah rakyat Kedah bukan rakyat negara ini. Tak betul lah, menteri harus melihat secara keseluruhan,” katanya selepas Iftar Ramadan Perdana dan sumbangan Hari Raya kepada anak-anak yatim di Mydin Mall Alor Mengkudu pada Isnin.

Iklan

Wan Romani berkata, sikap sedemikian hanya akan menimbulkan naratif buruk terhadap kepimpinan pusat.

"Tak mahulah naratif buruk wujud terhadap mana-mana pimpinan pusat. Sekalipun ada salah faham antara dua pihak, kedua-duanya harus bersikap profesional dalam urusan pentadbiran bagi mengelak wujud persepsi negatif,” ujarnya.

Iklan

Mengulas mengenai serangan berterusan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sejak kebelakangan ini, beliau maklumkan, ia ditangani menerusi penjelasan isu sebenar yang disebarkan di pelbagai platform media.

"Kerajaan negeri khususnya portfolio penerangan menepis pelbagai tohmahan dengan fakta dan dimuat naik di laman sosial selain edaran kenyataan rasmi.

"Mungkin ada hikmah di sebalik serangan demi serangan terhadap Kedah. Sebelum ini orang tidak mengenali Kedah, sekarang ramai mahu tahu isu yang berlaku di negeri ini,” ujarnya.

Persengketaan antara Muhammad Sanusi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat semakin berlarutan dan membimbangkan apabila mendakwa kabinet melarang beliau menghadiri majlis dan program anjuran kerajaan Persekutuan termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23) yang akan berlangsung di Langkawi, Mei depan.

Ia bermula daripada ceramah kempen Muhammad Sanusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Tambun pada November tahun lalu.

Anwar kemudian memfailkan saman fitnah terhadap Muhammad Sanusi yang mendakwa Ahli Parlimen Tambun itu menyalahgunakan kuasa, pembohong, mengkhianati mandat rakyat selain bergelar penjenayah walaupun mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi mempertahankan kenyataan beliau selain menafikan ia berbaur fitnah.

Hubungan kedua-dua pemimpin itu dilihat semakin keruh, selain sering tidak sependapat dalam pelbagai isu, terutama membabitkan kerajaan negeri dan Persekutuan.