Iktiraf pemberi maklumat kegiatan rasuah - MCW

Iklan
Perdana Menteri mengakui masih wujud 'budaya lama' cuba mendapatkan komisen ketika berurusan dengan kerajaan. - Gambar hiasan

SHAH ALAM - Pemberi maklumat atau pelapor kegiatan rasuah wajar diberikan penghargaan dan pengiktirafan yang sewajarnya dalam usaha menghapuskan budaya jijik itu termasuk komisen khususnya dalam urusan kerajaan.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berkata, penglibatan aktif masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memantau tatakelola kerajaan boleh membantu meningkatkan akauntabiliti dan transparensi dalam urus tadbir negara.

Iklan
Iklan

"Pelaksanaan sistem dan proses yang lebih ketat dan jelas dalam perolehan kontrak kerajaan, pengurusan perbelanjaan dan pentadbiran wang awam akan membantu mengurangkan ruang untuk amalan rasuah dan komisen.

"Masyarakat awam yang mengetahui tentang masalah ini mesti melaporkannya kepada pihak berkuasa dan pelapor tersebut wajar diberikan penghargaan dan pengiktirafan yang sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui masih wujud 'budaya lama' cuba mendapatkan komisen ketika berurusan dengan kerajaan.

Beliau bercakap pada Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan memberi penekanan mahu budaya itu dibersihkan.

Iklan

Mengulas lanjut, MCW berkata, amaran perdana menteri perlu dipandang serius kerana beliau pasti mempunyai bukti dan sumber maklumat yang banyak dan tepat.

Justeru, institusi penguatkuasaan juga perlu memastikan undang-undang yang berkaitan dengan rasuah dan komisen dilaksanakan dengan tegas dan adil.

"Hukuman yang tegas perlu dikenakan terhadap mereka yang terlibat dalam amalan tersebut tanpa mengira kedudukan atau pangkat mereka," katanya.

Tambah MCW lagi, kepercayaan rakyat kepada ahli politik, kerajaan dan maruah penjawat awam pasti akan meningkat sekiranya masalah budaya rasuah dan komisen dapat dihapuskan dari sistem pentadbiran kerajaan buat selamanya.