BANTING - Polis merampas mercun bernilai RM1 juta dalam serbuan di sebuah stor di Sungai Lang Baru, di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, serbuan kira-kira jam 6 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Perisikan Siasatan Khas (CPSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman.
Menurutnya, ketika serbuan, empat lelaki tempatan dikesan sedang memunggah kotak-kotak mercun daripada sebuah lori.
"Kesemua mereka berusia 19 hingga 39 tahun kemudian ditahan.
"Polis telah merampas 627 kotak mengandungi mercun dianggar bernilai RM1 juta selain rampasan sebuah lori yang dipercayai baharu tiba dari Klang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati tempat penyimpanan terbabit yang dipercayai aktif sejak Januari lalu belum mendapat sebarang kebenaran daripada pihak berkuasa.
Katanya, kesemua tangkapan kini direman tiga hari untuk siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sebanyak RM100,00 atau kedua-duanya.
Tegas Ahmad Ridhwan, beliau mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak menawarkan apa-apa penjualan mercun secara terbuka tanpa mendapatkan permit daripada pihak polis.
"Bagi individu yang mempunyai permit menjual mercun perlulah mematuhi peraturan di mana tempoh penjualan hanya dibenarkan selama tiga puluh hari iaitu 25 hari sebelum dan 5 hari selepas tempoh musim perayaan untuk mengelakkan tindakan undang-undang dikenakan," ujarnya.
Tambahnya, pihak polis juga meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penjualan mercun tanpa lesen untuk segera tampil membuat aduan di balai polis terdekat.