KOTA BELUD - Penduduk di Pulau Mantanani di sini, gempar selepas penemuan bangkai seekor ikan paus yang terdampar di pesisir pantai pada pagi Selasa.
Bangkai haiwan mamalia itu ditemui kira-kira jam 10 pagi oleh penduduk kampung sebelum perkara itu dimaklumkan kepada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di pulau berkenaan.
Menurut seorang jurulatih selaman di pulau berkenaan yang dikenali sebagai Ady, 30, mereka diminta untuk melupuskan bangkai haiwan itu selepas ditemui terdampar di pesisir pantai berkenaan.
"Paus ini berukuran panjang lebih tujuh meter dan mungkin ia spesies paus Baleen atau paus Minke kerana saiznya yang lebih kecil.
"Selepas ditemui kami maklumkan kepada sebuah NGO, namun mereka meminta kami melupuskan bangkai berkenaan," katanya ketika dihubungi.
Ditanya jika ada kejadian ikan paus lain terdampar di pulau itu, Ady berkata, ia bukan kejadian pertama berlaku.
"Saya bekerja sebagai penyelam di pulau ini sejak 2017 dan penemuan ikan paus ini bukan insiden pertama berlaku.
"Dulu pun pernah juga ikan paus terdampar di Pulau Mantanani Kecil tetapi sudah lama berlaku," katanya.
Sebelum itu, beberapa gambar memaparkan bangkai ikan paus ditemui terdampar di Pulau Mantanani itu tular di media sosial sejak tengah hari.