KBS teliti ugutan siber terhadap Joo Ven

Iklan
Joo Ven menerima ugutan dan komen negatif di media sosial susulan prestasi tidak menentunya. Foto Agensi. Gambar kecil: Hannah - Foto Bernama

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan meneliti ancaman siber terhadap pemain badminton perseorangan lelaki profesional negara, Soong Joo Ven baru-baru ini.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, Kod Sukan Selamat yang dilancarkan KBS pada 15 Mac lepas turut merangkumi buli siber seperti yang dialami oleh Joo Ven selepas tersingkir di pusingan kelayakan Madrid Spain Masters Selasa lepas.

Iklan
Iklan

"Kod Sukan Selamat adalah untuk wujudkan persekitaran yang selamat, ia merangkumi ancaman dalam talian. Kita belum bincang lagi dengan pegawai pelindung mengenai kes ini, saya sebenarnya tidak tahu pun mengenai kes ini.

"Tetapi kita akan teliti selepas ini. Kita ada senaraikan cara buat aduan (bagi atlet) untuk memudahkan atlet membuat aduan...kalau ada aspek jenayah, polis akan siasat," katanya pada sidang media direktori fasiliti KBS di Putrajaya pada Selasa.

Iklan

Joo Ven, 27, sebelum ini menerima komen negatif di akaun media sosialnya, selepas pemain di ranking 51 dunia itu gagal menempah tiket ke pusingan utama susulan tewas 21-19, 27-29, 16-21 selepas perlawanan berlangsung lebih sejam.

Kod Sukan Selamat merangkumi panduan dan rujukan kepada komuniti sukan mengenai skop sukan selamat dan tanggungjawab mengenai aspek keselamatan gangguan seksual, buli dan keganasan.

Iklan

Sementara itu, Hannah menjangkakan lebih banyak aduan akan diterima oleh pihaknya apabila kesedaran mengenai Kod Sukan Selamat meningkat.

"Ini tak semestinya buruk kerana kita ada kesedaran sekarang. Mungkin kes baharu atau lama, tetapi kerana ada kesedaran atlet akan tahu ini salah (selepas memahami kod itu). Kita perlu pastikan atlet dan jurulatih tahu undang-undang," katanya.

Sementara itu, Hannah berkata beliau akan berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mempercepatkan pelantikan jurulatih skuad berbasikal bukit (MTB), menggantikan jurulatih yang digantung berikutan laporan gangguan seksual.

Jumaat lepas, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan menerima laporan berhubung kes gangguan seksual membabitkan seorang pelumba MTB.

Atlet skuad Sukan SEA berusia 20-an itu membuat laporan polis pada Khamis, mendakwa mengalami gangguan seksual daripada jurulatihnya sendiri semasa menjalani latihan bersama pasukan.

PKBM mengambil tindakan serta-merta menggantung jurulatih berkenaan untuk membantu siasatan, namun jurulatih itu dilaporkan telah meletak jawatan. - Bernama