SHAH ALAM - Bersara daripada perjuangan kerana faktor usia disifatkan sebagai teori barat sekular dan tidak berwawasan akhirat, kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, para rasul tidak bersara daripada melaksanakan tugas mereka disebabkan faktor usia dan yang paling utama mereka mempunyai wawasan akhirat yang kekal abadi.
"Saranan sedemikian wajib ditolak, sekalipun yang mengatakannya itu bertaraf ahli falsafah, pemikir, ilmuwan, profesor dan sebagainya, kerana ilmunya tanpa berpandukan hidayah.
"Ukuran mereka itu hanyalah faktor umur, bukan faktor mukallaf,” katanya menerusi Minda Presiden Pas pada Selasa.
Abdul Hadi berkata, al-Quran menceritakan bahawa semua rasul berdakwah dan berpolitik dalam menghadapi kerajaan dan rakyat pada zaman masing-masing sepanjang hayat, sehingga tamat ajalnya di alam dunia.
Jelasnya, hanya sejumlah kecil dalam kalangan rasul yang sempat memimpin negara manakala sebahagian besarnya tidak berkesempatan sehinggakan mereka wafat dan sebahagian lagi bersama pemerintah tanpa memimpin negara.
"Nabi Daud AS menjadi khalifah, Nabi Sulaiman AS pula menjadi raja dan Nabi Muhammad SAW memimpin dan memerintah negara dengan adil bersama petunjuk ALLAH SWT. Mereka semua berdakwah dan berpolitik sehingga wafat.
"Manakala Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS, Nabi Harun AS dan lain-lain tidak sempat melihat kerajaan berdaulat yang menjadikan kitab ALLAH sebagai petunjuk dan terus berjuang sehingga masing-masing wafat.
"Nabi Nuh AS berdakwah dan berjuang sehingga 950 tahun lamanya tidak bersara sehingga baginda wafat,” kata Abdul Hadi,
Abdul Hadi menjelaskan, para rasul itu menjadi ikutan dan teladan kepada seluruh manusia dengan berdakwah membawa Islam yang sempurna bagi menyelamatkan dan mengajak manusia kepada perkara yang baik dan mencegah kemungkaran.
"Khususnya, kemungkaran yang dilakukan oleh pihak yang memerintah negara melibatkan aspek politik yang menyebabkan kemungkaran yang besar menimpa umat dan negara,” tegasnya.