Pinda undang-undang sedia ada untuk kawal selia produk vape

Iklan
Gambar hiasan

SHAH ALAM - Persatuan Pengurangan Kemudaratan Malaysia (MSHR) mencadangkan kepada kerajaan agar meminda undang-undang sedia ada untuk memperkenalkan peraturan bagi produk vape seiring keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) mengecualikan nikotin daripada Akta Racun pada Jumaat lalu.

Pengerusinya, Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, pihaknya memahami bahawa kerajaan berkemungkinan akan membentangkan rang undang-undang baharu pada sesi Parlimen seterusnya bagi mengawal selia semua produk rokok termasuk produk vape.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mengambil kira Dewan Rakyat kembali bersidang pada Mei depan dan tempoh masa rang undang-undang yang juga perlu diluluskan oleh Dewan Negara pada Julai, akta baharu itu hanya akan tersedia suku keempat tahun ini.

"Memandangkan proses perundangan mengambil masa, ini bermakna kita berpotensi melihat undang-undang hanya diperkenalkan pada bahagian akhir tahun ini.

Iklan

"Penantian terlalu lama dan kerajaan harus meneliti undang-undang sedia ada yang boleh dipinda atau diperluaskan untuk memasukkan produk vape.

"Sebagai contoh, undang-undang semasa yang mengawal selia produk tembakau sudah pun ketat dan perlu dipinda untuk membolehkan produk vape dikawal segera memandangkan nikotin yang digunakan dalam produk vape juga berasal daripada tembakau,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Sharifa Ezat yang juga Pakar Ekonomi Kesihatan dan Felo Kepimpinan Wanita Tun Fatimah dari Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, langkah tersebut bagi memastikan perlindungan disediakan untuk melindungi pengguna daripada bahan terlarang dan mengelakkan produk jatuh ke tangan kanak-kanak.

"MSHR berpendirian teguh bahawa vape adalah alternatif yang kurang berbahaya kepada tembakau dan strategi pengurangan bahaya yang berkesan.

"Bagaimanapun, membenarkan akses mudah kepada produk vape, terutamanya dalam kalangan bukan perokok dan golongan bawah umur, ia bertentangan dengan prinsip pengurangan bahaya,” jelasnya.

Dalam masa yang sama pihaknya turut menggesa Kerajaan untuk membangunkan peraturan yang akan mengambil kira potensi pengurangan bahaya produk vape.

"Pelbagai data bebas daripada penyelidikan tempatan dan antarabangsa menunjukkan bahawa vape telah terbukti kurang berbahaya berbanding merokok dan berkesan dalam membantu perokok berhenti merokok.

"Penyelidikan bebas ini juga telah diakui oleh kerajaan United Kingdom dan New Zealand yang menerajui agenda pengurangan bahaya tembakau.

"Oleh itu, dalam membangunkan peraturan bagi produk vape, KKM perlu mempertimbangkan potensi pengurangan kemudaratan bagi produk vape supaya ia boleh digunakan sebagai alternatif kepada merokok, terutamanya dalam kalangan mereka yang tidak bertindak balas terhadap NRT tradisional,” ujar beliau.